Pelajar Undang-Undang UKM takluk Ironman Dunia di Nice
PELAJAR tahun satu Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz, 19, berjaya menamatkan Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2026 di Nice, Perancis dengan catatan masa 6 jam 44 minit 21 saat.
Ahmad Dani yang merupakan peserta termuda dari Malaysia dan pelajar Universiti Awam pertama melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia itu, berjaya menamatkan perlumbaan bersama tujuh lagi peserta lain.
Kejohanan tersebut menyaksikan peserta dari seluruh dunia berenang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari sejauh 21km.
Menurut Ahmad Dani, perlumbaan berkenaan amat mencabar terutama bagi segmen berbasikal yang melibatkan pendakian curam.
“Ini adalah pertandingan yang amat sukar. Segmen berbasikal terlalu mencabar. Bukitnya sungguh curam dan pendakian adalah amat sukar sehinggakan ada beberapa ketika saya hanya mampu mengayuh 11km/jam. Namun, saya cuba mengejar masa semasa turun,” katanya sambil mengalirkan air mata kegembiraan.

Beliau turut mengambil pendekatan menikmati pemandangan pergunungan Nice bagi mengurangkan tekanan sepanjang perlumbaan.
Menurutnya, segmen larian pula mempunyai laluan yang landai, namun agak mencabar kerana dilakukan selepas otot-otot kaki bekerja keras ketika berbasikal.
Selain itu, cuaca yang panas terik turut memberi kesan kepada tempo larian anak muda berkenaan.
“Ini adalah kali terakhir kejohanan dunia Ironman 70.3 diadakan di Nice. Jadi, meskipun litar amat mencabar, saya nekad untuk menikmati perlumbaan ini sebab saya tidak tahu bila lagi saya akan berpeluang berenang, berbasikal dan berlari di sini,” katanya.

Ini merupakan kali ketiga Ahmad Dani menyertai acara Ironman 70.3 selepas beliau mendapat kedudukan 10 teratas bagi kategori 18 hingga 24 tahun di Ironman 70.3 Langkawi 2025, sekali gus melayakkannya ke kejohanan dunia itu.
“Saya masih lagi baru berjinak-jinak dalam sukan triatlon ini. Sejujurnya, saya tidak menjangka akan layak ke peringkat kejohanan dunia semasa saya di Langkawi kerana itulah kali pertama saya menyertai triatlon 70.3,” katanya.
Ahmad Dani berharap dapat terus menceburkan diri dalam sukan triatlon dan membawa nama Malaysia serta UKM ke peringkat lebih tinggi.
“Ini hanyalah titik permulaan dan saya harap untuk terus membanggakan nama Malaysia serta UKM.
“Saya juga ingin membuktikan bahawa pelajar universiti, terutamanya jurusan undang-undang, bijak mengurus masa dan boleh mengimbangkan pelajaran dan penglibatan dalam sukan,” katanya yang turut merupakan penerima Anugerah Dekan untuk semester ini.
