SKUAD menembak lelaki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencipta kejutan bergaya apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 10 meter (m) pistol angin berpasukan lelaki pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026, pada Khamis.

Beraksi di Lapang Sasar Menembak UPNM, trio Muhammad Azman Ridzuan, Iman Syahmi Azidi dan Mustaqim Hanif mengumpul 1848.4 mata untuk meraih pingat emas, sekali gus memadam rekod kebangsaan terdahulu milik Selangor iaitu 1845.9 mata yang dicatatkan pada 2022.

Pencapaian itu menyaksikan UPNM unggul dengan kelebihan 2.5 mata berbanding rekod lama, selain mengesahkan dominasi mereka dalam acara berkenaan.

Pingat perak menjadi milik Politeknik Malaysia selepas mengumpul 1749.6 mata, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih gangsa dengan catatan 1194.9 mata.

- Advertisement / Iklan -

Kecemerlangan UPNM turut diteruskan dalam acara individu lelaki apabila Mustaqim Hanif meraih pingat perak dengan catatan 244.2 mata, manakala Iman Syahmi melengkapkan podium dengan gangsa selepas mengumpul 224.3 mata.

 Trio Muhammad Azman Ridzuan, Iman Syahmi Azidi dan Mustaqim Hanif. Foto SUKIPT
Trio Muhammad Azman Ridzuan, Iman Syahmi Azidi dan Mustaqim Hanif. Foto SUKIPT

- Advertisement / Iklan -

Emas acara berkenaan menjadi milik wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Haritz Iklil Hessly Hafiz yang mencatat 247.8 mata.

Bukan sahaja skuad lelaki, penembak wanita UPNM turut mencuri perhatian apabila meraih emas dalam acara 10m pistol angin berpasukan wanita.

Trio Nurul Ain Murad, Nur Sumayyah Dzulkifli dan Puteri Nur Fatini Abdul Latif mengumpul 1816.1 mata untuk menamatkan saingan di tempat pertama.

UiTM meraih perak dengan 1809.5 mata, manakala Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membawa pulang gangsa selepas mencatat 1790.2 mata.

Dalam acara individu wanita, wakil UPM, Sharifah Noor Ilyana Syed Abdul Hamid muncul juara dengan catatan 247.9 mata.

An-Nur Qaisara Insyirah Mohd Anuar dari UniSZA meraih perak dengan 248.8 mata, manakala rakan sepasukan Sharifah Ilyana, Alia Husna Budruddin, memenangi gangsa selepas mencatat 225.7 mata.