69 peserta dayung 22km, Bidong jadi saksi semangat merdeka
BUKAN sekadar mengibarkan Jalur Gemilang di daratan, seramai 69 peserta memilih untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mendayung sejauh 22 kilometer merentasi perairan Terengganu dari Pantai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke Pulau Bidong.
Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2026: The Merdeka Voyage – Conquering the Blue to Bidong itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 20 Ogos, sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-69 dan ulang tahun ke-25 UMT.
Ekspedisi berkenaan dianjurkan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT dengan menyaksikan kesemua 69 peserta berjaya menyeberangi perairan Terengganu sebelum tiba di Pantai Pasir Tenggara, Pulau Bidong.
Majlis pelepasan peserta di Pantai Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT disempurnakan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri Negeri Terengganu, Norzilam Mohamed.
Ekspedisi itu bermula seawal jam 8 pagi dengan peserta mendayung merentasi laut menuju ke Pulau Bidong.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, peningkatan jumlah penyertaan pada tahun ini membuktikan program berasaskan marin berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT), alumni dan komuniti setempat.
Beliau berkata, pemilihan 69 peserta turut mempunyai simbolik tersendiri kerana bertepatan dengan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-69.
“Pemilihan 69 peserta ini bukan sekadar angka penyertaan biasa, sebaliknya melambangkan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-69.
“Ia menjadi simbol semangat kebersamaan dan penyatuan dalam meraikan kemerdekaan menerusi aktiviti yang sihat serta mencabar, di samping menyemarakkan lagi jiwa patriotisme,” katanya.

Menurut Mohd Izani, ekspedisi berkenaan dirangka bukan sekadar sebagai aktiviti rekreasi marin, sebaliknya menjadi platform untuk membentuk ketahanan diri, disiplin, kerja berpasukan dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, perjalanan sejauh 22 kilometer itu menuntut peserta berdepan cabaran fizikal dan mental yang memerlukan perancangan rapi, komunikasi berkesan serta keupayaan membuat keputusan secara bersama.
“Sepanjang pelayaran, peserta berdepan ujian fizikal dan mental yang menuntut perancangan teliti, komunikasi berkesan serta keupayaan membuat keputusan bersama secara pantas di tengah lautan,” katanya.
Selain menguji ketahanan peserta, ekspedisi tersebut turut menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim antara penuntut tempatan dan antarabangsa, staf IPT serta komuniti.
Pada masa sama, program itu turut membawa mesej mengenai kepentingan menghargai dan memelihara khazanah marin negara.
Penganjuran Kayak Merdeka UMT 2026 membuktikan sambutan kemerdekaan boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, termasuk melalui aktiviti lasak yang bukan sahaja menyemarakkan patriotisme, malah membina ketahanan diri dan semangat kebersamaan.
