TIDAK semua kejayaan bermula dengan keyakinan, pengalaman atau kemahiran yang sempurna. Ada kalanya, ia bermula dengan satu keputusan mudah iaitu berani mencuba walaupun dalam diri masih terdetik persoalan sama ada mampu atau tidak.

Itulah yang dilalui tiga pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mencipta kejayaan pada Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCCSkills) 2026 apabila masing-masing membuktikan bahawa keberanian meneroka potensi diri mampu membawa seseorang melangkaui batas yang selama ini dianggap sebagai kekurangan.

Nur Aisyah Athirah Sulahudin dari Politeknik Balik Pulau, Irfan Haiqal Azmira dari Kolej Komuniti Ampang dan Mohammad Zuhairul Naim Abdullah dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah masing-masing muncul penerima anugerah utama dalam bidang Graphic Design Technology, Web Technologies dan Additive Manufacturing.

Di sebalik kejayaan itu, ketiga-tiga mereka berkongsi pengalaman yang hampir sama iaitu kemenangan bukan sesuatu yang dijangka, sebaliknya hasil daripada keberanian untuk mencuba, kesungguhan menjalani latihan serta sokongan jurulatih, pensyarah, keluarga dan rakan-rakan.

- Advertisement / Iklan -

Kemenangan bawa mesej besar kepada mahasiswa

Bagi Nur Aisyah Athirah, yang menerima Anugerah Jari Emas dalam Graphic Design Technology, penyertaan dalam pertandingan berkenaan memberikan pengalaman baharu apabila dia perlu menghasilkan logo, motion dan hantaran media sosial dalam tempoh yang ditetapkan.

- Advertisement / Iklan -

Nur Aisyah Athirah (enam dari kanan) dari Politeknik Balik Pulau dinobatkan Anugerah Jari Emas POLYCCSkills 2026.
Nur Aisyah Athirah (enam dari kanan) dari Politeknik Balik Pulau dinobatkan Anugerah Jari Emas POLYCCSkills 2026.

Pelajar itu mengakui pada awalnya dia tidak pernah terfikir untuk membawa pulang kemenangan kerana merasakan dirinya masih belum sehebat peserta lain.

“Saya tak pernah terfikir untuk dapat (menang) sebab saya pun bukan hebat macam orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, keraguan itu tidak menghalangnya memberikan yang terbaik dan dengan bantuan jurulatih, Aisyah berjaya melalui cabaran pertandingan dan membuktikan bahawa keyakinan tidak semestinya hadir sebelum seseorang mencuba.

Pengalaman tersebut turut mengajarnya bahawa pengurusan masa merupakan antara aspek paling penting untuk dikuasai, terutama apabila peserta perlu mengimbangi latihan dengan tanggungjawab sebagai pelajar.

Nur Aisyah Athirah bersama dua penyarahkan yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang pertandingan berlangsung.
Nur Aisyah Athirah bersama dua penyarahkan yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang pertandingan berlangsung.

Nur Aisyah Athirah menyifatkan pengalaman itu sebagai satu proses pembelajaran yang membuatkannya sedar bahawa pelajar tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pensyarah atau jurulatih, sebaliknya perlu aktif meneroka ilmu dan kemahiran secara kendiri.

Jika Nur Aisyah Athirah perlu mengurus masa dan menyesuaikan diri dengan tugasan yang mencabar, Irfan Haiqal pula memasuki pertandingan dengan satu cabaran yang berbeza apabila mengakui tidak pernah mempunyai pengalaman dalam teknologi web sebelum ini.

Pelajar semester dua Kolej Komuniti Ampang itu mengakui dia tidak pernah menyentuh bidang berkenaan sebelum menyertainya, namun peluang tersebut menjadi ruang untuknya mempelajari sesuatu yang baharu.

Daripada tidak mempunyai pengalaman, Irfan Haiqal belajar memahami coding dan teknologi web dengan bantuan jurulatih sebelum akhirnya muncul Johan serta menerima Anugerah Minda Emas.

“Saya tak sangka langsung saya akan dapat Johan dan juga Minda Emas ini sebab sebelum ini saya tidak tahu apa itu web teknologi ini,” katanya.

Bagi Irfan Haiqal, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa setiap individu mempunyai bakat yang mungkin belum ditemui kerana tidak pernah diberikan peluang untuk menerokainya.

Irfan Haiqal (empat dari kanan) dari Kolej Komuniti Ampang dinobatkan Anugerah Minda Emas POLYCCSkills 2026.
Irfan Haiqal (empat dari kanan) dari Kolej Komuniti Ampang dinobatkan Anugerah Minda Emas POLYCCSkills 2026.

Katanya, seseorang tidak sepatutnya terlalu cepat mengatakan dirinya tidak mampu melakukan sesuatu kerana selagi belum mencuba, kemampuan sebenar masih belum diketahui.

“Selagi kita tak cuba, kita tak tahu kita boleh buat atau tidak,” katanya.

Kemenangan itu juga menguatkan impiannya untuk menamatkan pengajian diploma sebelum membina kerjaya di luar negara.

Irfan Haiqal bersama Pengarah Kolej Komuniti Ampang yang banyak membantunya
Irfan Haiqal bersama Pengarah Kolej Komuniti Ampang yang banyak membantunya

Bagi Mohammad Zuhairul Naim Abdullah pula, perjalanan menuju kemenangan dalam bidang Additive Manufacturing menuntut pengorbanan masa yang besar kerana dia perlu membahagikan masa antara latihan pertandingan, kelas dan pencapaian akademik.

Mohammad Zuhairul Naim (enam dari kanan) dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dinobatkan Anugerah Tangan Emas POLYCCSkills 2026.
Mohammad Zuhairul Naim (enam dari kanan) dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dinobatkan Anugerah Tangan Emas POLYCCSkills 2026.

Pertandingan itu merupakan pengalaman pertamanya dalam bidang berkenaan yang merangkumi empat modul utama iaitu drawing, 3D scanner, printing dan generative design.

Cabaran paling besar bagi Mohammad Zuhairul Naim ialah mencari ruang untuk berlatih tanpa mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

“Cabaran dia mungkin masa latihan sebab kita nak jaga pointer, kena masuk kelas semua,” katanya.

Bagi memastikan persiapan tidak terjejas, Mohammad Zuhairul Naim menjalani latihan di jabatan pada setiap Khamis dan meneruskan latihan di rumah apabila jadual di politeknik tidak mengizinkan.

Sokongan pensyarah dan senior yang mempunyai pengalaman dalam pertandingan sama turut menjadi antara faktor yang membantu dirinya meningkatkan penguasaan dalam bidang tersebut.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila Mohammad Zuhairul Naim menerima Anugerah Tangan Emas.

Daripada pengalaman berkenaan, dia menyedari bahawa masa merupakan aset yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, terutama bagi pelajar yang perlu mengimbangi akademik dengan aktiviti pembangunan bakat.

Platform cungkil dan membangunkan bakat TVET

Kisah tiga pelajar itu menjadi sebahagian daripada pencapaian lebih besar dalam POLYCCSkills 2026 yang menghimpunkan 349 peserta daripada 80 politeknik dan kolej komuniti seluruh negara untuk bersaing dalam 27 bidang kemahiran.

Pertandingan berkenaan bukan sekadar menjadi medan untuk menentukan peserta terbaik dalam bidang kemahiran masing-masing, malah menjadi platform mencungkil dan membangunkan bakat TVET yang mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Di sebalik pingat dan pengiktirafan yang diterima, kejayaan Nur Aisyah Athirah, Irfan Haiqal dan Mohammad Zuhairul Naim membawa mesej yang lebih besar kepada mahasiswa dan pelajar seluruh negara bahawa kekurangan pengalaman bukan alasan untuk menutup pintu peluang.

Ketiga-tiganya mungkin bermula dengan tahap keyakinan yang berbeza, tetapi mereka berkongsi satu keberanian yang sama iaitu memilih untuk mencuba.

Dalam dunia pendidikan yang semakin menuntut pelajar menguasai bukan sahaja ilmu akademik tetapi kemahiran teknikal, kreativiti, penyelesaian masalah dan kebolehan menyesuaikan diri, pengalaman seperti POLYCCSkills menjadi ruang penting untuk mereka mengenali potensi sebenar diri.

Justeru, kisah tiga anak muda ini wajar menjadi inspirasi kepada pelajar lain yang masih ragu-ragu untuk menyertai pertandingan, mencuba bidang baharu atau meneroka bakat yang selama ini terpendam.

Mereka membuktikan bahawa seseorang tidak perlu menunggu sehingga dirinya benar-benar hebat untuk bermula.