BILA warga pendidikan tinggi turun ke gelanggang, yang dibawa bukan sekadar semangat mahu menang, tetapi juga peluang untuk bertemu, berkenalan dan mengeratkan hubungan yang mungkin jarang berlaku dalam kesibukan tugas harian.

Itulah semangat yang mewarnai Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali Ke-46 yang membuka tirainya hari ini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dengan penyertaan lebih 3,443 atlet dan pegawai daripada 20 Universiti Awam (UA).

Berlangsung sehingga 15 Ogos, kejohanan kali ini mempertandingkan 19 jenis sukan dengan keseluruhan 424 pingat ditawarkan, merangkumi 128 emas, 128 perak dan 168 gangsa.

Namun, bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), SUKUM bukan sekadar tentang siapa yang paling pantas, kuat atau banyak mengumpul pingat.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, kejohanan itu menjadi ruang untuk warga KPT dan UA membina hubungan lebih rapat dalam suasana yang santai dan tidak terlalu formal.

- Advertisement / Iklan -

“Dalam dunia pendidikan tinggi yang serba cepat ini, hubungan yang mesra dan kebersamaan amat penting. Platform inilah yang merapatkan hubungan profesional kita dalam suasana yang lebih rileks dan mesra,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan.

Menurut beliau, nilai yang dibentuk menerusi sukan seperti disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan dan keupayaan membuat keputusan ketika berdepan tekanan turut penting untuk dibawa ke tempat kerja.

“Nilai-nilai inilah yang kita nak bawa balik ke pejabat, supaya kita boleh kerja sebagai satu pasukan yang saling menyokong,” katanya.

Beliau berkata, kecemerlangan warga pendidikan tinggi tidak seharusnya diukur menerusi pencapaian akademik dan penyelidikan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan diri serta ketahanan mental.

No Image Caption

Penglibatan dalam aktiviti sukan, katanya, mampu membantu membina individu yang lebih seimbang selain mewujudkan budaya kerja yang lebih positif.

Pada masa sama, SUKUM 46 mencipta sejarah tersendiri buat UniSZA apabila universiti itu diberi kepercayaan menjadi tuan rumah buat pertama kali sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan hampir lima dekad lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, kepercayaan itu menjadi satu penghormatan kepada seluruh warga universiti dan pada masa sama membuktikan kemampuan UniSZA mengendalikan penganjuran berskala besar.

Beliau berkata, kehadiran kontinjen dari seluruh negara turut memberi peluang kepada warga UA mengenali UniSZA dan Terengganu dengan lebih dekat, selain membina jaringan serta persahabatan baharu.

Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr. Zainal Amin Ayub serta barisan Ahli Lembaga Pengarah UniSZA.

Sepanjang lapan hari kejohanan, beberapa fasiliti sukan di UniSZA dan sekitar Kuala Terengganu digunakan bagi menampilkan persaingan dalam 19 acara yang dipertandingkan.