PhD di tengah ujian kanser
KETABAHAN luar biasa yang tersimpan dalam diri Dr Mohd Khairul Faidzi Muhammad Paudzi, graduan Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadikan kisahnya bukan sekadar tentang segulung ijazah, tetapi tentang sebuah perjuangan yang menggetarkan jiwa.
Di saat ramai meniti pengajian dalam keadaan sihat, beliau menamatkan pengajian Doktor Falsafahnya sambil berjuang menahan sakit sebagai pesakit kanser lymphoma tahap 2B. Suatu kekuatan yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
Disahkan menghidap kanser pada September 2023, ketika berada di fasa akhir penulisan tesis, beliau menggambarkan detik itu sebagai saat dunia menjadi ‘gelap seketika’.
Katanya, dengan dua anak perempuan yang masih kecil, berita tersebut meruntuhkan semangatnya.
Beliau akui pernah menangis sendirian di dalam kereta sebelum mengumpulkan kekuatan untuk memaklumkan hal itu kepada isterinya.

Sebaik disahkan menghidap kanser, beliau memulakan rawatan kemoterapi sebanyak 12 kali di Hospital Ampang, diikuti 20 sesi radioterapi di Hospital Kuala Lumpur.
Mengenang kembali detik itu, beliau berkata, kesakitan yang dialami bukan sedikit, dari hilang selera makan, muntah, rambut gugur, pening, cirit-birit dan tubuh menggigil antara kesan yang terpaksa ditanggung.
Tulis tesis satu muka surat walau sakit
Namun beliau meletakkan satu disiplin, walaupun sakit setiap hari mesti menulis sekurang-kurangnya satu muka surat.
Ada hari beliau hanya mampu menulis sedikit setelah kesakitan reda, namun langkah kecil itu akhirnya mengumpulkan 298 halaman tesis yang lengkap.
Akhirnya, pada Oktober 2024 tesis itu berjaya dihantar sepenuhnya.
Mohd Khairul Faidzi berkata, semua itu mampu dihadapi kerana beliau mempunyai isteri yang menjadi tunjang kekuatannya.
“Panel penyelia pula beri ruang untuk saya pulih dan majikan di UPNM memudahkan urusan akademik sepanjang tempoh rawatan.

“Perjalanan ini pahit, tetapi akhirnya saya berdiri di sini dengan segulung ijazah. Saya sendiri tak sangka saya mampu habiskan tesis selepas semua rawatan itu,” katanya sebak.
Mohd Khairul Faidzi turut menitipkan pesana buat mahasiswa yang sedang berdepan cabaran akademik dan kehidupan untuk kekal positif dan bersemangat setiap hari.
