Hobi bertukar rezeki, mahasiswa Politeknik Jeli cipta dunia mini dalam kaca
BERMULA daripada sekadar hobi dengan menghasilkan hiasan dalam kaca atau dikenali terarium menggunakan barang terpakai, minat Muhammad Syukur Abdullah, 21, kini mula berkembang sehingga mampu mencipta pelbagai rekaan landskap mini.
Pelajar Diploma Teknologi Akuakultur Semester Dua, Politeknik Jeli itu berkata minatnya terhadap terarium bermula ketika belajar di sekolah menengah selepas menonton video menerusi media sosial YouTube sehingga mendorongnya menghasilkan terarium sendiri.
"Selepas beberapa kali percubaan berpandukan video di YouTube, usaha itu mula membuahkan hasil sebelum meneruskan minat dengan mengikuti Sijil Teknologi Akuakultur di Kolej Komuniti Jerantut, Pahang pada 2022.

"Semasa pengajian selama dua tahun di kolej komuniti tersebut, saya dapat banyak pendedahan berkaitan asas tumbuhan serta kaedah penjagaan, sekali gus meningkatkan kefahaman untuk memastikan tumbuhan tersebut dapat hidup lebih lama," katanya ketika ditemui Bernama di Politeknik Jeli, semalam.
Bercerita lanjut, anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata pengalaman menjalani latihan industri selama lima bulan di Gardenroad Aquatic, Shah Alam, Selangor turut memberikan pendedahan kepadanya tentang penghasilan terarium secara lebih profesional.
Muhammad Syukur berkata, selepas mendapat pengalaman tersebut, dia bertambah yakin dengan hasil terarium yang dilakukan dan mula menjual hasil karya secara kecil-kecilan bermula pada 2022 melalui platform Facebook dan Marketplace.

"Hobi saya terus berkembang selepas menyambung pengajian di Politeknik Jeli pada awal tahun ini, selain turut mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Green Vista yang turut diberi tunjuk ajar oleh Pensyarah Teknologi Akuakultur Zalina Che Manan selaku penasihat sebagai platform untuk pelajar berkongsi minat dalam bidang terarium.
"Kami bukan sahaja menghasilkan terarium, tetapi turut berkongsi ilmu tentang teknik membuat dan menjaga tumbuhan di dalam bekas kaca kepada guru tadika," katanya yang menjual terarium bermula dari RM10 hingga RM570.
Menghasilkan tiga jenis landskap terarium
Muhammad Syukur berkata, dia kini mahir menghasilkan tiga jenis landskap terarium berkonsepkan landskap tanpa air, akuaskap yang memfokuskan landskap dalam air serta paludarium yang menggabungkan elemen air dan daratan seperti rekaan air terjun.
Proses menghasilkan terrarium, katanya, bermula dengan menyediakan beberapa lapisan termasuk bebola tanah liat dan tanah hitam yang dicampur dengan lumut kering bagi mengekalkan kelembapan.
"Lapisan ini penting supaya air dapat disimpan dan tumbuhan dapat hidup dengan baik. Selepas siap bahagian asas, barulah saya mula mereka bentuk menggunakan kayu, batu dan lumut," katanya dan menambah kayu jenis spiderwood antara bahan yang sering digunakan kerana tahan lama dan tidak mudah berkulat.

Katanya, bahagian paling mencabar untuk menghasilkan satu landskap terarium adalah ketika membuat perincian berikutan setiap susunan perlu tepat kerana jikalau tersalah letak, keseluruhan terarium boleh nampak "kurang hidup".
"Biasanya, saya menggunakan tumbuhan seperti fittonia, paku pakis dan bonsai. Konsep pula bergantung pada permintaan seperti gaya hutan, diorama, Jepun atau Iwagumi (gaya akuaskap minimalis yang hanya menggunakan hiasan batu dan tumbuhan). Setakat ini, diorama menjadi pilihan kerana kelihatan seakan-akan fantasi.
"Setiap terarium yang dihasilkan perlu dipantau antara satu hingga dua minggu bagi memastikan tumbuhan dapat menyesuaikan diri sebelum diserahkan kepada pelanggan," kata pemilik akaun TikTok syukx._ itu.

Muhammad Syukur berkata, dia mampu menghasilkan antara lima hingga 10 terarium sebulan dalam pelbagai saiz termasuk mini, standard dan premium dengan tempoh penghasilan antara sejam hingga sehari bergantung pada tahap kesukaran.
"Terarium perlu dijaga dari segi kelembapan dan pencahayaan. Penyiraman pula biasanya sekali hingga dua kali seminggu bergantung pada keadaan terarium.
"Cabaran utama ialah membahagikan masa antara belajar dengan menyiapkan tempahan. Saya perlu susun jadual supaya pengajian tidak terjejas dan pelanggan juga dapat menerima tempahan mengikut masa ditetapkan," katanya yang belum membuat penghantaran di negeri lain kerana bimbang terarium akan pecah ketika dalam perjalanan. - Bernama
