KREATIVITI dan kemahiran digital mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa apabila Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan pada Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) 2026 yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat.

Pelajar Program Pendidikan (Teknologi Maklumat), Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META) itu menewaskan ratusan peserta dari seluruh dunia apabila muncul antara tiga terbaik daripada 203 peserta yang mewakili 45 negara.

Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$2,000 selain mengharumkan nama UPSI dan Malaysia di pentas pertandingan berprestij anjuran Certiport International.

Sepanjang pertandingan, peserta diuji menghasilkan reka bentuk poster kreatif menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, sekali gus menguji kemahiran teknikal, kreativiti serta keupayaan menyampaikan idea melalui reka bentuk visual.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Kejayaan Muhammad Fawwaz turut dibimbing oleh pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META, Ahmad Nurzid Rosli.

- Advertisement / Iklan -

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian tersebut membuktikan mahasiswa UPSI mampu bersaing di pentas antarabangsa, selain mengangkat Malaysia sebagai antara negara yang melahirkan bakat digital bertaraf dunia.

"UPSI akan terus komited melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa menerusi latihan dan pensijilan profesional. Kami berharap lebih banyak institusi berganding bahu memperkukuh pembangunan bakat digital bagi menjadikan Malaysia antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Kontinjen Malaysia, Natalie Sit menyifatkan edisi 2026 sebagai pencapaian terbaik negara sepanjang penyertaan dalam kejohanan berkenaan.

Menurut beliau, buat pertama kalinya Malaysia berjaya membawa pulang tiga pengiktirafan utama apabila Muhammad Fawwaz meraih tempat ketiga, manakala Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak memenangi tempat keempat dan Anugerah People's Choice.

Pencapaian itu turut menandakan tahun kelima berturut-turut Malaysia berjaya menempatkan wakil di podium Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional, sekali gus membuktikan bakat kreatif mahasiswa negara terus mendapat pengiktirafan di peringkat global.