Aniq Kasdan terus harumkan nama UiTM, raih emas di Glasgow 2026
PELAJAR Sarjana Muda Sains Sukan, Mohamad Aniq Kasdan membuktikan kecemerlangan mahasiswa Malaysia di pentas antarabangsa apabila menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu muncul juara acara angkat berat lelaki kategori 60 kilogram (kg) selepas mencatat jumlah angkatan keseluruhan 273kg di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo pada Ahad.

Jumlah tersebut diperoleh menerusi angkatan 121kg dalam acara snatch dan 152kg dalam acara clean and jerk, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Komanwel bagi kategori berkenaan.
Mohamad Aniq menewaskan pencabar dari India, Rishikanta Singh Chanambam yang merekodkan jumlah angkatan 264kg, manakala Joshua Amunga Mboya dari Kenya meraih gangsa dengan 260kg.
Kejayaan itu turut menamatkan penantian kontinjen negara untuk meraih pingat emas pertama di Glasgow 2026, sekali gus menambah koleksi pingat Malaysia selepas jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat gangsa.

Mohamad Aniq bukanlah nama asing dalam arena angkat berat negara apabila pernah muncul juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi kategori 55kg dengan jumlah angkatan 249kg.
Ketika itu, beliau melakukan angkatan 107kg dalam acara snatch dan 142kg dalam acara clean and jerk, yang turut memecahkan rekod temasya, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet angkat berat terbaik negara.
