'Kampus bukan hanya tentang akademik, kesejahteraan mental pun penting'
KESIHATAN mental bukan lagi isu sampingan di universiti. Dalam dunia kampus yang semakin mencabar, pengurusan tekanan, kesejahteraan emosi dan sokongan psikologi kini menjadi antara agenda utama institusi pengajian tinggi.
Menyedari hakikat itu, Jawatankuasa Ketua Pegawai Psikologi Universiti Awam (JKKPPsiKUA) bersama Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam (JKPUA) mengambil langkah proaktif membangunkan Manual Kesejahteraan Universiti Awam, yang bakal menjadi rujukan dalam memperkukuh pengurusan kesejahteraan psikologi, tekanan dan krisis di semua universiti awam.
Penyelaras Program, Sharizan Samad berkata, usaha tersebut dibincangkan menerusi Program Perbincangan Strategik Pengurusan Psikologi Kepimpinan Universiti Awam: Pendekatan Strategik Dalam Pemerkasaan Pengurusan Tekanan di Organisasi.
"Program berkenaan menghimpunkan pendaftar universiti awam serta pegawai psikologi daripada 20 universiti awam di seluruh negara bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam membina ekosistem kampus yang lebih sihat, selamat dan berdaya tahan," katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi JKPUA merangkap Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Muhazam Mansor, manakala Pengerusi JKKPPsiKUA yang juga Pendaftar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Fazielah Mohamad, turut hadir bersama barisan pendaftar universiti awam.
Sepanjang program, peserta mengikuti beberapa sesi perkongsian yang memfokuskan kepada pengurusan tekanan dalam organisasi, cabaran transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), landskap pentadbiran universiti serta kepimpinan yang berdaya tahan ketika berdepan situasi krisis.
Menurut Fazielah, pembangunan Manual Kesejahteraan Universiti Awam merupakan satu langkah penting bagi mewujudkan pendekatan yang lebih tersusun dan seragam dalam memperkukuh kesejahteraan warga universiti.
"Kesejahteraan bukan lagi sekadar fungsi sokongan, tetapi menjadi elemen penting yang menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah organisasi.
"Universiti yang mampan memerlukan kepimpinan yang berdaya tahan, sistem sokongan psikologi yang kukuh serta keupayaan mengurus tekanan dan krisis secara strategik.
"Kami berharap manual ini dapat menjadi rujukan utama kepada universiti awam dalam membina persekitaran kerja dan pembelajaran yang lebih sihat, inklusif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara JKKPPsiKUA dan JKPUA juga dijangka memperkukuh pelaksanaan amalan terbaik dalam pengurusan kesejahteraan psikologi, sekali gus menyokong aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2025–2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem pendidikan tinggi yang mampan dan berpusatkan kesejahteraan warga.
