Siti Nurhaliza terima Ijazah Kehormat Sunway University
LEBIH dua dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan pelbagai pencapaian membanggakan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin kini menerima satu lagi pengiktirafan apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) oleh Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Sunway University.
Penganugerahan tersebut diumumkan menerusi akaun rasmi Instagram Sunway University yang menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan luar biasa serta perjalanan seni Siti Nurhaliza yang terus menjadi inspirasi dalam industri seni dan kreatif.
"Tahniah kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Sunway University.
"Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa dan perjalanan inspiratif beliau dalam industri seni dan kreatif," menurut hantaran tersebut.
Siti Nurhaliza dalam hantaran Instagram beliau turut menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu penghormatan yang sangat besar.
"Ini bukan sahaja penghargaan untuk perjalanan seni saya seorang tetapi juga satu pengiktirafan tertinggi buat seluruh warga industri muzik dan seni kreatif tanah air.
"Terima kasih kepada pihak pengurusan Sunway University di atas penghormatan cukup bermakna ini," katanya dalam hantaran tersebut.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan bahawa bidang seni kreatif dan media adalah satu profesion yang sangat berprestij dan dihormati oleh dunia akademik.
"Semoga anugerah ini menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan pengamal seni tempatan untuk terus berkarya dengan mutu yang tinggi, beretika dan membawa seni budaya kita ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
