CSR, pitching & khidmat komuniti: 80 mahasiswa komunikasi gegarkan UUM
BUKAN sekadar berkhemah atau menghadiri seminar, sebaliknya empat hari di Universiti Utara Malaysia (UUM) dimanfaatkan sepenuhnya oleh 80 mahasiswa komunikasi dari seluruh negara untuk berkongsi idea, turun padang bersama komuniti dan membuktikan bahawa anak muda mampu menjadi penggerak perubahan.
Menerusi Sintok CSR Summercamp 2026, mahasiswa daripada 10 cawangan Institute of Public Relations Malaysia Student Association (IPRMSA) berkumpul bagi memperkukuh kefahaman mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR), kepimpinan belia dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Program yang berlangsung dari 12 hingga 15 Jun lalu itu dianjurkan oleh IPRMSA UUM Chapter dengan kerjasama Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) serta Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM.
Pengarah Program, Adam Haikal Mohd Shamirizal berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa komunikasi membina jaringan profesional, bertukar idea dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari menerusi aktiviti yang memberi impak kepada masyarakat.

"Sepanjang empat hari program berlangsung, peserta daripada UUM, UOW Malaysia, Xiamen University Malaysia, UiTM Shah Alam, UiTM Melaka, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Sunway University, Universiti Putra Malaysia (UPM), Management and Science University (MSU) serta INTI International University mengikuti pelbagai pengisian berbentuk akademik dan khidmat komuniti.
"Antara aktiviti yang paling mencuri perhatian ialah SDG Idea Pitching Competition, apabila mahasiswa diberi peluang membentangkan idea kreatif berkaitan program CSR yang mampu menyokong agenda pembangunan mampan," katanya.
Menurutnya, pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu CSR Idea Pitching, yang memfokuskan cadangan projek baharu berteraskan SDGs, dan CSR Program Pitching, yang mengetengahkan inisiatif CSR yang telah berjaya dilaksanakan.
"Bagi kategori idea, UOW Malaysia muncul juara menerusi projek JOM!DIGITAL, diikuti Xiamen University Malaysia dan MSU.
"Sementara itu, kategori projek dimenangi oleh Sunway University menerusi inisiatif Sunway 2 Sustainability, manakala UPM dan UPTM masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga," jelasnya.
Adam Haikal berkata, program tidak terhenti di dewan persidangan apabila para peserta turut turun padang menjayakan projek Youth Outreach - Seeds of Tomorrow di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu.
"Menerusi projek itu, mahasiswa berganding bahu bersama warga sekolah melaksanakan gotong-royong, mengecat mural, membaik pulih kemudahan, mengendalikan ceramah akademik serta aktiviti Green Globe Explorace yang menggabungkan elemen pendidikan, inovasi dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Tambah Adam Haikal, Sintok CSR Summercamp 2026 menjadi medan kepada mahasiswa komunikasi mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan kerja berpasukan dalam suasana sebenar bersama komuniti.
