Brek dulu! Wheels on Road tarik lebih 700 peserta
KEMALANGAN jalan raya bukan sekadar angka statistik, sebaliknya realiti yang boleh mengubah kehidupan dalam sekelip mata dan berpegang kepada hakikat itu, sekumpulan pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam tampil menganjurkan Wheels on Road.
Program yang berlangsung selama dua hari di Padang Kawad, UiTM Shah Alam itu berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta berdaftar, selain menerima kehadiran ramai pengunjung secara walk-in, sekali gus membuktikan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya semakin mendapat perhatian masyarakat kampus.

Penasihat projek, Dr. Shifa Faizal berkata, Wheels on Road merupakan projek kemuncak pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa (Periklanan) yang mengetengahkan pendekatan kreatif dalam menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
Menurutnya, pelbagai aktiviti disusun bagi memberi pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan masyarakat, antaranya pameran keselamatan jalan raya, simulasi, perkongsian ilmu oleh agensi penguat kuasa, pemeriksaan keselamatan kenderaan, pameran motosikal berkuasa tinggi, aktiviti interaktif, cabutan bertuah dan pelbagai pertandingan yang berjaya menarik penyertaan pelajar serta orang awam.

"Selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya, program ini turut memberi penekanan terhadap pembentukan sikap pemandu yang lebih bertanggungjawab, berhemah dan peka terhadap keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
"Penganjuran Wheels on Road turut membuktikan kemampuan mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah kepada pelaksanaan program berskala besar yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Melalui penglibatan secara langsung dalam perancangan, promosi, pengurusan penajaan, komunikasi dan pelaksanaan program, para pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman industri yang berharga, malah berjaya membina jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta," katanya.
Shifa berkata, lebih daripada sekadar sebuah program universiti, Wheels on Road membuktikan bahawa perubahan budaya keselamatan jalan raya boleh bermula daripada usaha kecil yang digerakkan oleh mahasiswa.
"Apabila ilmu, kreativiti dan semangat kesukarelawanan digabungkan, ia mampu menjadi platform berkesan untuk melahirkan masyarakat yang lebih peka, berdisiplin dan bertanggungjawab di jalan raya," katanya.
