Seorang pemimpin tidak dilahirkan dalam sehari. Sebaliknya, ia dibentuk melalui pengalaman, cabaran dan keberanian untuk memimpin diri sebelum memimpin orang lain.

Atas semangat itu, seramai 38 belia dari Kampung Alai, Melaka menyertai Kem Transformasi Pemimpin Muda PERWIRA yang berlangsung selama dua hari di Kem Kepimpinan Kong Koi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pada 18 hingga 19 Julai lalu.

Penyelaras Program, Sharizan Samad berkata, program anjuran UPNM dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Alai itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Santuni MADANI UPNM yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan, di samping mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti.

No Image Caption

- Advertisement / Iklan -

"Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan fizikal dan mental seperti latihan team building, ceramah kepimpinan dan motivasi, komunikasi berkesan, penyelesaian masalah, ikhtiar hidup, cabaran berkumpulan, riadah serta sesi refleksi kendiri.

"Setiap pengisian dirangka bagi meningkatkan keyakinan diri, kemahiran membuat keputusan, semangat berpasukan dan nilai kepimpinan yang diperlukan untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti," katanya.

- Advertisement / Iklan -

Menurutnya, kem tersebut bukan sekadar memberi pengalaman berkhemah, sebaliknya menjadi platform membentuk karakter dan jati diri belia melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal.

No Image Caption

"Kami mahu peserta pulang bukan sekadar membawa pengalaman menyertai kem, tetapi membawa semangat baharu untuk memimpin, berbakti kepada masyarakat dan menjadi contoh kepada rakan sebaya.

"Kepimpinan perlu dibentuk melalui pengalaman, bukan hanya dipelajari di dalam kelas," katanya.

Beliau berkata, pendedahan seperti itu penting bagi membantu belia membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta mengasah keupayaan membuat keputusan ketika berdepan pelbagai cabaran.

No Image Caption

Menurutnya, pembangunan kepimpinan belia perlu dipupuk sejak usia muda agar mereka lebih bersedia memikul tanggungjawab sebagai pemimpin komuniti dan negara pada masa hadapan.

"Pengalaman sepanjang dua hari di Kem Kepimpinan Kong Koi diharap menjadi titik permulaan kepada peserta untuk kembali ke komuniti masing-masing sebagai pemimpin muda yang lebih yakin, berdisiplin dan bersedia mencetuskan perubahan positif demi pembangunan masyarakat serta negara," katanya.