ReVibe Fiesta ubah persepsi pakaian terpakai
TIDAK semua pakaian yang sudah dipakai berakhir di tong sampah. Dengan sedikit kreativiti, setiap helaian masih mampu tampil bergaya sambil menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Atas semangat itu, sekumpulan pelajar tahun akhir Program Teknologi Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan ReVibe Fiesta, sebuah kempen yang menggalakkan amalan fesyen lestari dan penggunaan pakaian terpakai dalam kalangan belia.

Bertemakan Each Piece Has Its Own Story, ReVibe Fiesta mengangkat konsep fesyen pekeliling (circular fashion) dengan membuktikan pakaian terpakai masih relevan untuk digayakan secara kreatif tanpa perlu berbelanja besar.
Sepanjang program, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian bersama wakil Kloth mengenai kitar semula tekstil, pertunjukan fesyen pakaian terpakai, pasar keusahawanan belia yang menghimpunkan vendor tempatan, selain permainan interaktif, persembahan busking dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Pengarah program, Marsya Medina Idris berkata, program yang berlangsung selama dua hari di Galeria SA Sentral, Shah Alam itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesan industri fesyen pantas (fast fashion) terhadap alam sekitar, di samping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari dan berhemah.

Menurutnya, ReVibe Fiesta bukan sekadar mempromosikan fesyen lestari, malah berusaha mengubah persepsi masyarakat bahawa pakaian terpakai juga mampu menjadi pilihan yang bergaya, mampu milik dan mesra alam.

"Kami berharap program ini dapat membuka mata masyarakat, khususnya golongan muda, bahawa setiap helaian pakaian masih mempunyai nilai.

"Dengan mengamalkan penggunaan semula pakaian, kita bukan sahaja dapat mengurangkan sisa tekstil, malah menyokong gaya hidup yang lebih lestari dan berhemah," katanya.

Program anjuran Studio15 UiTM itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pembangunan komuniti serta membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan belia.
