Gagal bukan penamat, alumni UPNM muncul komando terbaik
KEGAGALAN pada percubaan pertama tidak mematahkan semangat Leftenan Muda Muhammad Fadli Jamalluddin, 24, untuk mengejar impiannya menjadi anggota komando apabila bangkit menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/26 dengan cemerlang sehingga dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik.
Pegawai yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu berkata beliau gagal menamatkan latihan Kursus Asas Komando Siri 3/2024, namun pengalaman berkenaan menjadi pembakar semangat untuk mencuba sekali lagi.
"Saya berminat menyertai pasukan tentera sejak di bangku sekolah menengah lagi. Pada mulanya saya belajar di sekolah agama sebelum berpindah ke sekolah menengah aliran biasa.
"Saya kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebelum menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja pada 2024," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2026 di Universiti Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil, pada Sabtu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata hasrat untuk mencabar kemampuan diri serta menghadiahkan sesuatu yang membanggakan bapanya mendorong beliau menyertai 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK).
"Ketika tahun akhir latihan ketenteraan, saya terfikir, alang-alang menyertai tentera, lebih baik saya memilih cabang yang lebih mencabar. Orang kata menjadi komando adalah satu kepuasan dalam kerjaya ketenteraan.
"Saya menghadiri Kursus Asas Komando pada 2024 tetapi gagal. Latihan itu memang sangat mencabar dari segi mental dan fizikal, namun saya nekad mencuba sekali lagi," katanya.
Muhammad Fadli berkata, sepanjang kursus kali ini, beliau hampir tersingkir pada minggu kelapan selepas gagal melepasi satu latihan, yang boleh menyebabkan beliau terpaksa mengulang keseluruhan kursus.
"Saya menangis apabila gagal kerana ketika itu saya sudah melalui perjalanan yang sangat jauh dalam latihan. Saya baru selesai menjalani jalan lasak lebih 100 kilometer tetapi akhirnya tumbang. Ramai yang menasihatkan supaya tidak mengulang kursus kerana cabarannya terlalu berat.

"Tetapi saya tidak mahu berhenti. Saya percaya kegagalan itu bukan penamat, sebaliknya peluang untuk saya kembali dengan lebih kuat," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kepolisan Global dan Perisikan dengan Kepujian itu.
Beliau berkata kejayaan yang diraih hari ini merupakan hadiah paling bermakna buat ibu bapa dan keluarganya.
Namun Muhammad Fadli berkata, bapanya tidak dapat hadir melihat beliau menamatkan latihan hari ini kerana diserang strok lebih setahun lepas.
"Saya berharap kejayaan ini dapat memberi semangat kepadanya," katanya.
Katanya, sepanjang tiga bulan menjalani kursus, beliau menempuh pelbagai latihan mencabar di darat dan laut yang menguji ketahanan fizikal serta mental.
"Orang kata hendak menjadi komando pun sudah sukar, apatah lagi menjadi pegawai komando. Bukan sahaja perlu kuat dari segi fizikal, malah minda juga perlu tajam kerana banyak operasi khas memerlukan kebijaksanaan dalam merancang dan membuat keputusan," katanya.
Muhammad Fadli merupakan antara lima pegawai dan 33 anggota lain-lain pangkat yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/26.
Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik disampaikan oleh Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nordin Abu.