PUO gegar gelanggang, raih naib juara futsal kebangsaan ILM
SEMANGAT sepasukan menjadi nadi kejayaan apabila gabungan staf dan pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya mencipta kejutan dengan melangkah ke pentas akhir sebelum muncul naib juara pertandingan futsal peringkat kebangsaan kategori Institut Latihan Maritim (ILM) 2026.
Kejohanan yang menghimpunkan 12 pasukan daripada institusi latihan maritim seluruh negara itu menyaksikan PUO mempamerkan aksi konsisten sebelum mara ke pentas akhir.
Bagaimanapun, hasrat untuk muncul juara tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (KPSN).
Lebih membanggakan, skuad PUO dibarisi gabungan staf dan pelajar baharu Semester 1 yang mempamerkan semangat juang tinggi, disiplin serta kerjasama berpasukan sepanjang kejohanan sehingga berjaya menewaskan beberapa pencabar untuk melangkah ke final.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh berkata, pencapaian itu membuktikan warga PUO bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, inovasi dan TVET, malah mampu bersaing di pentas sukan kebangsaan.
"Kejayaan ini bukan sekadar gelaran naib juara, tetapi membuktikan semangat juang, disiplin dan kerjasama erat antara staf serta pelajar mampu mengangkat nama PUO di pentas kebangsaan.
"Saya berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga PUO untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut turut mencerminkan budaya kerja berpasukan, kepimpinan dan disiplin yang sentiasa diterapkan dalam kalangan warga PUO, selaras dengan aspirasi institusi ke arah Politeknik APEX yang melahirkan graduan TVET holistik, berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik, sahsiah serta kokurikulum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pemain, jurulatih, urus setia dan semua pihak yang memberikan komitmen serta sokongan sehingga pasukan berjaya melangkah ke pentas akhir.
