TRADISI bukan sekadar warisan untuk dikenang, tetapi menjadi jambatan yang menyatukan warga kampus.

Bersempena sambutan Hari Asyura, Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP), Politeknik Ungku Omar (PUO) menganjurkan Program Jalinan Ukhuwah (Penghayatan Hijrah) yang menjadikan aktiviti gotong-royong mengacau bubur Asyura sebagai medium mengeratkan hubungan.

Program itu menghimpunkan 80 pelajar baharu Semester 1 Diploma Kejuruteraan Perkapalan bersama 25 pensyarah dan staf JKP dalam usaha memupuk semangat kebersamaan, mengeratkan ukhuwah serta memperkenalkan budaya kekeluargaan yang menjadi identiti jabatan sejak hari pertama pelajar menjejakkan kaki ke kampus.

Lebih bermakna, program tersebut turut mendapat sokongan alumni JKP serta warga pensyarah dan staf yang menyumbang dana bagi menjayakan penyediaan bubur Asyura.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Hasil kerjasama semua pihak, sebanyak 350 pek bubur Asyura berjaya disediakan sebelum diedarkan kepada warga PUO menerusi kaedah pandu lalu (drive-thru).

- Advertisement / Iklan -

Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh, merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JKP atas komitmen menjayakan program yang sarat dengan nilai kemasyarakatan dan semangat kebersamaan.

"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pensyarah, staf, alumni serta pelajar JKP yang berganding bahu menjayakan program ini.

"Tradisi seperti ini bukan sekadar menghidupkan amalan sempena Hari Asyura, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim, menyemai semangat kesukarelawanan dan membentuk sahsiah pelajar yang holistik selaras dengan aspirasi Politeknik APEX," katanya.

Menurut beliau, program berteraskan warisan dan nilai kemasyarakatan seperti itu wajar diteruskan kerana mampu membentuk budaya kampus yang harmoni, prihatin dan saling menyokong.

No Image Caption

Katanya, penglibatan aktif pelajar baharu bersama pensyarah, staf dan alumni turut menjadi platform terbaik untuk membina hubungan yang lebih erat, sekali gus menyemai semangat kekitaan yang menjadi antara kekuatan komuniti PUO.

Program berkenaan membuktikan bahawa tradisi warisan bukan sahaja mampu terus dipelihara, malah menjadi medium menyatukan warga kampus dan membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai kemanusiaan, kerjasama dan semangat bermasyarakat.