KEPANASAN melampau meningkatkan risiko kemasukan ke hospital bagi golongan muda yang mempunyai masalah kesihatan mental, menurut satu kajian Australia, yang mengetengahkan kebimbangan kesihatan awam berkaitan perubahan iklim.

"Perubahan iklim memberikan kesan kepada kesihatan mental kanak-kanak dan golongan muda dalam pelbagai cara," kata penulis bersama kajian itu, Cybele Dey, pakar psikiatri remaja dengan Rangkaian Hospital Kanak-Kanak Sydney, dipetik oleh Guardian Australia pada Selasa, lapor Xinhua.

Diketuai Universiti Sydney, kajian terhadap 720,000 kemasukan hospital di negeri New South Wales, melibatkan individu berumur sehingga 24 tahun antara 2001 dan 2022, mendapati apabila suhu mencecah 1 peratus tertinggi dalam rekod, risiko kemasukan meningkat dua kali ganda pada bulan-bulan yang lebih panas dan tiga kali ganda pada bulan-bulan yang lebih sejuk.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry itu mengunjurkan bahawa kemasukan ke hospital berkaitan haba boleh meningkat sebanyak 6 peratus kepada 7.7 peratus menjelang akhir abad ini apabila suhu global meningkat.

- Advertisement / Iklan -

Ia hanya merangkumi kes paling teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital, seperti kemurungan, skizofrenia, penyalahgunaan bahan, gangguan makan dan mencederakan diri, dan tidak termasuk lawatan kecemasan serta pesakit luar.

Para penyelidik berkata peningkatan pesat dalam kemasukan ke hospital selepas lonjakan haba menunjukkan tindak balas fisiologi, mungkin dikaitkan dengan gangguan tidur, tekanan, fungsi otak yang berubah, dan peningkatan impulsif, alkohol atau penggunaan bahan lain.

- Advertisement / Iklan -

Penemuan ini menggariskan keperluan untuk memasukkan risiko psikologi dalam perancangan dan dasar kesihatan haba, menurut Guardian Australia. - Bernama - Xinhua