Seorang saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar pencapaian membanggakan apabila namanya diabadikan sebagai spesies baharu parasit ikan, Thelohanellus borkhanuddini.

Penghormatan itu diberikan kepada bekas Ketua Program Biologi Marin, Profesor Madya Dr Hafiz Borkhanuddin atas dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang parasitologi ikan serta ekologi invertebrata.

Spesies baharu dalam genus Thelohanellus itu ditemui oleh penyelidik Hungary dan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports, selain mendapat liputan media sains terkemuka National Geographic.

UMT memaklumkan penemuan tersebut bukan sekadar pencapaian taksonomi, malah mempunyai implikasi terhadap kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur dan kelestarian sumber protein akuatik global dalam mendepani cabaran keselamatan makanan dunia.

- Advertisement / Iklan -

“Penamaan spesies baharu dalam taksonomi saintifik merupakan penghormatan akademik yang tinggi dan berkekalan kerana nama tersebut akan terus direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies itu diiktiraf komuniti penyelidik antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Hafiz yang kini menyandang jawatan Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai yang tertinggi sepanjang kerjayanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam sains marin dan parasitologi ikan berkata, penamaan tersebut membuktikan penyelidikan asas yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi impak besar kepada komuniti saintifik global.

“Ia juga membuktikan bahawa sokongan dan pelaburan universiti dalam pembangunan bakat dan kepakaran akan membuahkan hasil,” katanya sambil menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan kepada seluruh warga UMT.