PUO Panther cipta kebangkitan dramatik julang trofi Bowl
PASUKAN ragbi Politeknik Ungku Omar (PUO) Panther mencipta kebangkitan dramatik untuk muncul juara kategori Bowl pada Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Jemputan UiTM Cawangan Perak 2026 yang berlangsung di Padang Ragbi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Kejayaan itu hadir selepas PUO Panther mengharungi aksi peringkat kumpulan yang mencabar sebelum bangkit pada separuh akhir dengan menewaskan Ipoh Bulls RC 17-12, meskipun ketinggalan 0-12.
Momentum kemenangan diteruskan pada aksi final apabila PUO Panther mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan UiTM Pahang Panthers 21-0 sekali gus menjulang kejuaraan kategori Bowl.
Dalam kejohanan itu, UPSI Eagles muncul juara kategori Cup, manakala UiTM Dengkil Acid Pumas memenangi kategori Plate.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr Salmi Che Meh berkata, kejayaan tersebut membuktikan semangat juang, disiplin dan kerja berpasukan menjadi tunjang kecemerlangan yang mampu mengangkat nama institusi ke peringkat lebih tinggi.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga PUO Panther, pengurus pasukan, barisan jurulatih serta Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) atas komitmen dan dedikasi yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
"Kemenangan ini membuktikan bahawa mahasiswa TVET bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran, malah mampu bersaing serta mengungguli arena sukan. Teruskan melakar kejayaan dan jadikan kemenangan ini sebagai pemangkin untuk mengharumkan nama Politeknik Ungku Omar selaras dengan aspirasi ke arah Politeknik Apex," katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut membuktikan keberkesanan usaha berterusan JSKK dalam memperkukuh pembangunan sukan institusi menerusi pembentukan atlet yang berkualiti, berdaya tahan serta memiliki nilai kepimpinan dan sahsiah yang tinggi.
Kejohanan anjuran UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah itu menghimpunkan 12 pasukan daripada institusi pengajian tinggi dan kolej vokasional seluruh negara, termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), UiTM dan kolej vokasional.
PUO Panther diketuai Akmal Danish Saharudin, pelajar Kejuruteraan Perkapalan PUO bersama 14 pemain di bawah pengurusan Musa Abu Samah, manakala hadiah kemenangan disampaikan oleh Dr Ahmad Zoolhelmi Alias, Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Menurutnya, penyertaan dalam kejohanan itu bukan sekadar memburu kejuaraan, malah menjadi platform memperkukuh kemahiran teknikal dan taktikal pemain, membentuk disiplin, semangat berpasukan serta kepimpinan sebagai persediaan menghadapi pertandingan yang lebih kompetitif pada masa depan.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan reputasi Politeknik Ungku Omar sebagai institusi TVET yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan inovasi, malah konsisten melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat negeri dan kebangsaan.
