Azeem Fahmi dijangka sambung pengajian sarjana di UM
PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dijangka meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM) selepas menamatkan pengajian di Universiti Auburn, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Perkembangan itu menguatkan lagi spekulasi apabila pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) itu mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman pada Selasa.
Turut hadir ialah Dekan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Profesor Madya Dr. Zulkarnain Jaafar serta Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman.
Sebelum ini, Azeem yang berusia 22 tahun pernah menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana sebaik menamatkan pengajian di Amerika Syarikat.
Dalam masa sama, pihak universiti menyatakan komitmen untuk menawarkan laluan pengajian yang fleksibel bagi membolehkan Azeem meneruskan pengajian tanpa menjejaskan tanggungjawabnya sebagai atlet elit negara.
