KEHIDUPAN berasrama masih relevan dalam ekosistem pendidikan negara kerana berupaya membentuk pelajar yang lebih berdikari, berdisiplin dan berdaya tahan, kata Angkasawan Negara dan Penyelidik Pendidikan, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Menurut beliau, walaupun beberapa insiden buli dan salah laku yang mendapat perhatian umum menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, manfaat kehidupan berasrama tetap besar sekiranya aspek keselamatan, kesejahteraan dan pembangunan sahsiah pelajar diberi keutamaan.

“Apabila diurus dengan baik, kehidupan berasrama menawarkan pelbagai manfaat yang mampu membentuk generasi muda yang lebih berdikari, matang dan bertanggungjawab.

“Pelajar belajar mengurus masa, keperluan harian, jadual pembelajaran dan aktiviti kokurikulum secara lebih sistematik. Pengalaman ini membantu membentuk disiplin diri dan kemahiran pengurusan masa yang penting untuk masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, kehidupan berasrama juga membuka peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan rakan daripada pelbagai latar belakang, sekali gus membentuk kemahiran komunikasi, toleransi dan kerjasama.

Selain itu, katanya, penglibatan dalam jawatan seperti pengawas, ketua dormitori atau ahli jawatankuasa pelajar turut membantu membina keyakinan diri serta kemahiran kepimpinan.

- Advertisement / Iklan -

“Pelajar bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, malah belajar membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan memikul tanggungjawab dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar menegaskan isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan dan perlu menjadi agenda utama setiap institusi berasrama.

“Insiden buli, gangguan emosi dan salah laku yang berlaku di sesetengah institusi perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh sistem perlindungan pelajar.

“Asrama yang berkualiti bukan sekadar mempunyai kemudahan yang baik, tetapi juga budaya yang sihat, selamat dan menyokong perkembangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, peranan warden, guru, kaunselor dan pentadbir amat penting dalam memastikan setiap pelajar berasa dihargai, didengari dan dilindungi sepanjang berada di asrama.

Menurutnya, pendekatan pencegahan melalui program pembangunan sahsiah, literasi emosi, pendidikan anti-buli serta sistem pelaporan yang mudah diakses perlu diperkasakan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa peranan ibu bapa tidak terhenti apabila anak-anak memasuki asrama.

“Hubungan yang erat antara keluarga dan pihak sekolah menjadi faktor penting dalam memastikan kesejahteraan pelajar.

“Sokongan emosi, rohani dan penerapan nilai murni yang bermula di rumah merupakan benteng penting dalam membantu mereka membuat keputusan yang betul apabila berjauhan daripada keluarga,” katanya.

Tambah beliau, kehidupan berasrama bukan sekadar pengalaman akademik, sebaliknya proses pembentukan karakter yang menyeluruh bagi melahirkan generasi yang berdisiplin, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.