SUKIPT 2026: UC TATI Rhino sasar kelompok lima terbaik, tebus kekecewaan
KESUNTUKAN masa ekoran jadual kalendar akademik yang padat tidak menghalang pasukan ragbi Kolej Universiti TATI (UC TATI Rhino) untuk meletakkan sasaran memburu kedudukan kelompok lima terbaik pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026, Ogos depan.
Misi tersebut menjadi agenda utama pasukan bagi memperbaiki rekod perlawanan lalu selepas terkandas dalam aksi peringkat kumpulan pada edisi sebelum ini di Sintok, Kedah.
Pengurus pasukan, Ahmad Farid Ridhwan Zakaria berkata, biarpun berdepan kekangan waktu pengajian semester yang baru bermula, beliau optimis gandingan pemain senior dan muka baharu mampu memikul cabaran berkenaan.
"SUKIPT yang berlangsung secara dwitahunan ini memberi tempoh masa yang baik untuk persediaan setiap pasukan. Namun, hakikatnya setiap pemain ini adalah pelajar yang perlu menghabiskan pengajian masing-masing.
"Walaupun kami bukanlah pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan berbanding IPT lain yang dibarisi oleh pemain-pemain yang pernah beraksi di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa. Tapi, kami tetap optimis untuk berada dalam kelompok lima terbaik," katanya yang mengemudi pasukan itu sejak 2016.
Sementara itu, kapten pasukan, Muhammad Daniell Aqtar Uzir yang membuat penampilan ketiga bersama UC TATI Rhino meletakkan harapan tinggi untuk menaiki podium pada edisi kali ini.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik itu menyifatkan SUKIPT 2026 sebagai pentas pengubah nasib pasukan sebelum beliau menamatkan pengajian tidak lama lagi.
"Mungkin ini adalah penampilan terakhir saya bersama pasukan sejak 2026 kerana akan tamat pengajian tidak lama lagi.
"Saya amat berharap kami sama-sama dapat memperbaiki rekod pasukan sekaligus sekurang-kurangnya ia menjadi kenangan dan pencapaian terbaik sebelum saya meninggalkan pasukan ini nanti," ujarnya.
Untuk rekod, pada edisi lalu bagi acara ragbi 7 sepasukan lelaki, Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 21-0.
Temasya SUKIPT edisi ketujuh pada musim ini dijadualkan berlangsung bermula 28 Ogos nanti di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dengan penglibatan sebanyak 65 kontinjen IPT dari seluruh negara.
