NAIB Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin terus mengharumkan nama negara apabila menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi World Women Empowerment Impact Award 2026.

Anugerah berprestij itu diterima pada Majlis World Women Economic & Business Summit (WWEBS) yang berlangsung di Pulau Pinang pada Isnin.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai menghargai kepimpinan teladan, sumbangan transformatif serta komitmen beliau dalam memperkasakan wanita dan memacu pembangunan inklusif dalam sektor pendidikan tinggi.

Massila menerima piala serta sijil kecemerlangan sebagai simbol pengiktirafan terhadap usaha berterusan beliau dalam memperkukuh peranan wanita dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kepimpinan dan teknologi.

- Advertisement / Iklan -

Menurut kenyataan UTeM, kepimpinan beliau turut menyumbang kepada pengukuhan kecemerlangan institusi, memperluaskan kerjasama industri dan akademik serta membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk berkembang sebagai pemimpin, pencipta dan agen perubahan.

“Melalui pelbagai inisiatif dan advokasi yang dilaksanakan, beliau terus memberi inspirasi kepada generasi wanita baharu untuk memecahkan tembok halangan serta cemerlang dalam bidang yang secara tradisinya kurang diwakili golongan wanita,” menurut kenyataan itu.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Anugerah tersebut turut mengiktiraf peranan beliau dalam memperjuangkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pemerkasaan masyarakat selain sumbangan berterusan kepada pembangunan wanita di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Di bawah kepimpinan Massila, UTeM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara universiti awam TVET terbaik negara dengan pelbagai pencapaian di peringkat nasional dan global.

Strategi kepimpinan yang diterapkan turut menyaksikan peningkatan pengambilan pelajar tertinggi dalam sejarah universiti serta kejayaan melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menjadi pilihan majikan pelbagai industri.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam memperkasa penyertaan wanita dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelaksanaan program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA).

Dalam perkembangan berkaitan, UTeM turut mencatat pencapaian membanggakan apabila penilaian Talentbank yang melibatkan lebih 1,200 majikan industri menobatkan universiti itu dalam beberapa kategori utama termasuk pengiktirafan 6-Star Employer Choice.

Menerusi Graduate Employability Index 2026 yang diumumkan Talentbank, UTeM turut disenaraikan dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara.

Antara pengiktirafan lain yang pernah diterima Massila termasuk World Responsible AI Leadership Award 2025, World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024, Anugerah Personaliti Pendidikan Transformatif Cemerlang Asia, Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET), Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026.