AIR mata seorang ibu mengiringi kunjungan Program Ziarah Kasih Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Perkasa Siswa yang tampil menghulurkan bantuan kewangan serta sokongan moral kepada bakal mahasiswa menjelang sesi pendaftaran September 2026.

Program yang diadakan di sekitar Lembah Klang itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Hirman Awang.

Inisiatif hasil kerjasama strategik antara UiTM dan Yayasan Perkasa Siswa itu bertujuan membantu bakal pelajar yang berdepan cabaran kewangan membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi.

Sepanjang lawatan tersebut, rombongan menziarahi tiga keluarga bakal mahasiswa bagi meninjau sendiri keadaan mereka serta mendengar cabaran yang dihadapi dalam menyediakan keperluan pendaftaran, penginapan, pengangkutan dan kelengkapan pembelajaran.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Kisah bakal mahasiswa, Rabiah Al-Adawiyah Hamdan, 18, antara yang paling mencuri perhatian sepanjang program tersebut. Rabiah bakal memulakan pengajian dalam Program Diploma Teknologi Bangunan di Fakulti Alam Bina, UiTM Kampus Seri Iskandar, Perak.

- Advertisement / Iklan -

Ketika menerima kunjungan rombongan, ibu kepada Rabiah tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata kerana terharu dengan keprihatinan pihak universiti dan Yayasan Perkasa Siswa yang sanggup turun padang ke kediaman mereka untuk menyampaikan bantuan serta memberikan kata-kata semangat.

Menurut beliau, bantuan yang diterima amat bermakna dan dapat meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan awal sebelum anaknya memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.

"Saya amat terharu dan bersyukur atas kehadiran pihak UiTM dan Yayasan Perkasa Siswa ke rumah kami. Bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan anak untuk mendaftar ke universiti nanti.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap masa depan anak-anak kami," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Mohd Sazili berkata, Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif kebajikan mahasiswa yang dilaksanakan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke universiti disebabkan kekangan kewangan atau faktor sosioekonomi keluarga.

Menurut beliau, pendekatan turun padang membolehkan pihak universiti memahami situasi sebenar yang dihadapi bakal mahasiswa sekali gus menyalurkan bantuan yang lebih bersasar dan berimpak.

"UiTM sentiasa komited memastikan kebajikan mahasiswa menjadi keutamaan. Kehadiran kami bukan sekadar menyampaikan bantuan kewangan, tetapi juga untuk memberikan keyakinan dan sokongan moral kepada pelajar dan keluarga bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan menuju kejayaan.

"Pendidikan merupakan hak yang perlu dinikmati oleh semua tanpa mengira latar belakang," katanya.

No Image Caption

Beliau berkata, program seumpama itu turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan antara universiti, pelajar dan komuniti selain membuktikan keprihatinan UiTM terhadap kesejahteraan mahasiswa.

Dalam pada itu, Hirman berkata, Yayasan Perkasa Siswa akan terus bekerjasama rapat dengan UiTM bagi memastikan lebih ramai pelajar yang memerlukan dapat dibantu menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan pelajar.

"Kami percaya setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya sekiranya diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya. Kerjasama dengan UiTM ini membolehkan bantuan disampaikan terus kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

Program Ziarah Kasih itu akan diperluaskan ke seluruh sistem UiTM melibatkan kampus cawangan di seluruh negara dengan penglibatan pegawai Hal Ehwal Pelajar sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti serta menyantuni bakal mahasiswa yang memerlukan bantuan sebelum melaporkan diri ke kampus.

No Image Caption

Melalui pelaksanaan program itu, UiTM berharap lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan memerlukan dapat memulakan pengajian dalam keadaan yang lebih bersedia, yakin dan selesa.

Inisiatif tersebut selaras dengan komitmen UiTM untuk memperkukuhkan agenda kesejahteraan mahasiswa, memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi serta melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.