Bukan penghujung jalan, ini permulaan baharu penghuni pusat koreksional
HUKUMAN bukan penamat kepada sebuah kehidupan, sebaliknya boleh menjadi titik permulaan untuk mencipta masa depan yang lebih baik.
Menyedari hakikat itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam tampil menganjurkan program Explore Entrepreneurship bagi memberi pendedahan kepada penghuni Pusat Koreksional Puncak Alam tentang potensi bidang keusahawanan sebagai jalan membina semula kehidupan.
Program komuniti yang berlangsung pada 21 Mei lalu itu dianjurkan oleh Jabatan Keusahawanan dan Pengajian Pemasaran, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Puncak Alam dengan penyertaan seramai 19 penghuni pusat koreksional.
Program tersebut diketuai oleh Profesor Madya Dr Sharifah Zannierah Syed Marzuki bersama lapan ahli jawatankuasa dan fasilitator yang bertanggungjawab membimbing peserta sepanjang program berlangsung.

Sharifah Zannierah berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan bidang keusahawanan kepada penghuni pusat koreksional, khususnya banduan hukum, selain membuka ruang kepada mereka untuk melihat bidang perniagaan sebagai salah satu peluang membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
"Sepanjang program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 petang itu, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek asas keusahawanan termasuk cara merancang dan membangunkan perniagaan secara sistematik," katanya.
Menurutnya lagi, program berkenaan diwujudkan sebagai wadah ilmu untuk membuka minda peserta mengenai potensi bidang keusahawanan sebagai sumber pendapatan yang mampu mengubah masa depan mereka.
"Selain memberi pendedahan mengenai dunia perniagaan, program itu turut menekankan kepentingan menjadi individu yang mampu memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.
"Antara pengisian utama program ialah sesi ceramah mengenai Kanvas Model Perniagaan (Business Model Canvas - BMC) yang disampaikan oleh Dr Junainah Junid," tambahnya.
Katanya, melalui sesi tersebut, peserta dibimbing mengenal pasti idea perniagaan, pelanggan sasaran, sumber pendapatan serta strategi pemasaran yang bersesuaian dengan minat dan potensi masing-masing.
"Peserta turut menerima pendedahan mengenai peluang pembiayaan perniagaan menerusi taklimat yang disampaikan oleh wakil TEKUN Nasional, Azrak Ahmad Zaman.
"Taklimat tersebut memberi gambaran kepada peserta mengenai bantuan pembiayaan dan sokongan yang boleh dimanfaatkan sekiranya mereka ingin memulakan perniagaan selepas dibebaskan kelak," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan ilmu yang diperoleh dapat diaplikasikan secara praktikal, peserta turut diberikan tugasan individu untuk menyediakan Kanvas Model Perniagaan berdasarkan idea perniagaan yang ingin diceburi pada masa hadapan.
"Aktiviti itu bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan pemikiran kritis, malah membantu peserta merancang hala tuju kehidupan mereka dengan lebih jelas dan positif.
"Kami berharap program komuniti itu dapat menjadi titik permulaan kepada penghuni pusat koreksional untuk membina masa depan yang lebih baik menerusi bidang keusahawanan," katanya.
Pada masa sama, UiTM menerusi Jabatan Keusahawanan dan Pengajian Pemasaran, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan akan terus komited melaksanakan program pemerkasaan komuniti dan sosial bagi memastikan manfaat ilmu dapat dikongsi dengan pelbagai lapisan masyarakat.
