DI sebalik gelaran 'Daerah Beradat', Rembau menyimpan pelbagai tarikan warisan, alam semula jadi dan produk komuniti yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan.

Bagi memastikan khazanah tersebut tidak tenggelam dalam arus pemodenan, sekumpulan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil mengangkat potensi daerah itu ke pentas digital melalui Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberi tumpuan kepada pembangunan pelancongan komuniti berasaskan inovasi digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan sosial.

Inisiatif berkenaan turut selari dengan aspirasi Community-Driven University for a Sustainable World serta menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.

- Advertisement / Iklan -

Bagi menjayakan projek komuniti tersebut, mahasiswa UKM memilih Rembau, Negeri Sembilan sebagai lokasi pelaksanaan program.

Daerah yang terkenal dengan warisan Adat Perpatih itu mempunyai pelbagai keunikan budaya, sejarah dan produk tempatan yang masih dipelihara sehingga kini.

- Advertisement / Iklan -

Namun, di sebalik keistimewaan tersebut, masih terdapat pelbagai potensi pelancongan komuniti yang belum diketengahkan secara meluas, khususnya menerusi platform digital.

Sehubungan itu, mahasiswa UKM daripada Semester 4, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) membangunkan pelbagai kandungan kreatif termasuk video promosi, infografik interaktif, bahan pemasaran digital dan penjenamaan komuniti bagi membantu memperluaskan capaian promosi pelancongan desa kepada khalayak yang lebih luas.

Mentor program yang juga pensyarah dari FSSK UKM, Dr. Nor Azrul Mohd Zin berkata, penglibatan mahasiswa dalam program berasaskan komuniti seperti IDCT 2.0 memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan akademik dalam situasi sebenar.

“Mahasiswa bukan sahaja belajar mengenai pelancongan komuniti dan penggunaan teknologi digital, malah mereka turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat bagi memahami keperluan serta potensi yang boleh dibangunkan bersama.

“Pendekatan ini penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan, tetapi juga keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara mampan,” katanya.

Pendekatan berasaskan teknologi itu bukan sahaja mempromosikan destinasi pelancongan setempat, malah membantu komuniti memahami kepentingan penggunaan teknologi digital dalam pembangunan ekonomi dan pelancongan.

No Image Caption

Antara lokasi yang diketengahkan ialah Hutan Lipur Gunung Datuk yang terkenal sebagai destinasi pendakian dan eko-pelancongan di Negeri Sembilan.

Keindahan alam semula jadi serta nilai warisan yang dimiliki menjadikan lokasi tersebut berpotensi besar sebagai produk pelancongan komuniti berasaskan pengalaman, rekreasi dan alam sekitar.

Selain itu, mahasiswa turut mempromosikan Muzium Rembau yang menyimpan pelbagai khazanah sejarah berkaitan identiti dan perkembangan masyarakat setempat.

Muzium tersebut menempatkan replika Istana Raja Melewar yang menjadi simbol sejarah awal pemerintahan Negeri Sembilan serta perkembangan Adat Perpatih di negeri berkenaan.

Keunikan seni bina tradisional dan nilai sejarah yang dimiliki menjadikan muzium itu berpotensi sebagai destinasi pelancongan warisan serta pendidikan sejarah kepada generasi muda dan pelancong luar.

Dalam usaha memperkenalkan produk komuniti, mahasiswa turut memberi perhatian kepada perusahaan desa seperti Bahulu Sabut Warisan SeeTam yang masih mengekalkan kaedah pembakaran tradisional menggunakan sabut kelapa dan kayu api.

Produk warisan seumpama itu bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah mencerminkan identiti, kemahiran dan sejarah masyarakat setempat yang wajar dipelihara.

Tarikan gastronomi seperti Kafe Singgahsana yang terkenal dengan hidangan masak lemak cili api turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang boleh dinikmati pengunjung di Rembau.

Usaha yang digerakkan mahasiswa UKM ini membuktikan bahawa pembangunan pelancongan komuniti bukan sekadar mempromosikan sesuatu destinasi, sebaliknya menjadi medium memperkasa komuniti luar bandar, menyokong perusahaan tempatan dan merapatkan jurang penggunaan teknologi dalam kalangan usahawan desa.

Melalui penggunaan media sosial dan platform digital, produk serta perkhidmatan komuniti dapat dipasarkan dengan lebih strategik dan berdaya saing.

Nor Azrul berkata, kolaborasi antara universiti dan komuniti menerusi program seperti IDCT 2.0 membuktikan bahawa mahasiswa mampu menjadi pemangkin transformasi sosial dan ekonomi masyarakat melalui pendekatan yang kreatif dan berimpak tinggi.

Menurut beliau, penggunaan teknologi digital dalam mempromosikan pelancongan komuniti bukan sahaja membantu meningkatkan keterlihatan sesuatu destinasi, malah berpotensi memperkukuh ekonomi setempat serta memastikan warisan budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang.

“Pelancongan desa bukan sekadar mengenai destinasi yang dikunjungi pelawat, tetapi turut melibatkan kisah masyarakat, budaya, identiti dan nilai yang membentuk sesebuah komuniti. Itulah yang perlu terus diketengahkan dalam era digital hari ini,” katanya.

Menurutnya, pada masa sama, program seperti IDCT 2.0 membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti dalam membantu pembangunan komuniti secara langsung.

"Inisiatif tersebut sekali gus membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai penuntut ilmu, malah mampu menjadi agen perubahan yang membantu memperkasa komuniti melalui inovasi dan teknologi.

"Lebih penting, usaha mengangkat Rembau ke pentas digital ini menunjukkan bahawa warisan budaya dan potensi pelancongan desa masih relevan untuk dipromosikan kepada generasi masa kini, sekali gus memastikan identiti serta keunikan komuniti setempat terus dikenali di peringkat nasional dan global," katanya.