Break The Silence: KMUKM perkasa kesedaran tangani gangguan seksual
ISU gangguan seksual dalam kalangan mahasiswa terus menjadi perhatian apabila masih terdapat mangsa yang memilih untuk berdiam diri kerana takut, malu atau tidak mengetahui saluran bantuan yang tersedia.
Situasi itu menunjukkan usaha memperkukuh kesedaran berkaitan pelaporan, perlindungan dan sokongan kepada mangsa perlu dipergiatkan secara berterusan di institusi pengajian tinggi, bukan sahaja melalui dasar universiti tetapi juga menerusi program pendidikan dan advokasi.
Menyedari keperluan tersebut, Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) menganjurkan program Siswi Talk: Break The Silence menerusi forum bertajuk From Victim to Victor: Bangkit dan Lindungi Diri bagi membuka ruang perbincangan yang lebih selamat, terbuka dan berfokus kepada tindakan.
Program itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS), serta Unit Kaunseling Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM.

Dalam sesi perkongsian, Ketua Unit Siasatan Seksual Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Superintenden Zuraidah Samsudin menegaskan bahawa PDRM sentiasa komited dalam mengendalikan kes berkaitan gangguan seksual tanpa mengira jantina mangsa.
Menurut beliau, antara cabaran utama dalam menangani kes berkenaan ialah kesukaran mendapatkan keterangan rasmi apabila mangsa enggan tampil membuat aduan, sedangkan laporan rasmi amat penting bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“PDRM mempunyai pegawai penyiasat wanita yang bersedia membantu mangsa membuat laporan dan memberikan keterangan di balai polis berdekatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak hanya bergantung kepada pendedahan menerusi media sosial atau platform tanpa nama kerana tindakan tersebut belum tentu dapat melindungi mangsa atau membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku.
Sementara itu, Ketua Seksyen Tuntutan dan Perundangan TAGS, Nurshuhaida Zainal Azahar berkata, mangsa gangguan seksual kini mempunyai pilihan tambahan selain prosiding mahkamah sivil, iaitu melalui Tribunal bagi Antigangguan Seksual yang ditubuhkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).
Menurut beliau, tribunal itu berfungsi sebagai mekanisme alternatif untuk mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual melalui proses yang lebih mudah, cepat dan berkos rendah.

“Kewujudan TAGS penting kerana tidak semua mangsa mempunyai kemampuan dari segi emosi, masa dan kewangan untuk melalui proses mahkamah yang panjang. Tribunal ini menyediakan ruang pendengaran yang lebih khusus kepada mangsa,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, aduan kepada TAGS tidak menafikan hak mangsa untuk membuat laporan polis sekiranya terdapat unsur jenayah, malah kedua-dua saluran tersebut boleh digunakan mengikut keperluan sesuatu kes.
Forum berkenaan turut memberi penekanan terhadap kepentingan sokongan psikologi kepada mangsa gangguan seksual.
Manakala, Pegawai Psikologi Unit Kaunseling HEP UKM, Izyan Nabilah Norhalim berkata, kesan gangguan seksual bukan sahaja melibatkan aspek perundangan, malah boleh meninggalkan trauma, tekanan emosi dan rasa tidak selamat kepada mangsa.
“Gangguan seksual melibatkan maruah dan keselamatan diri seseorang. Namun, mangsa tidak perlu berasa keseorangan kerana khidmat kaunseling sedia membantu mereka untuk bangkit semula melalui pendekatan yang membina,” katanya.
Menurut beliau, proses pemulihan memerlukan persekitaran yang menyokong termasuk daripada rakan, keluarga, pihak universiti dan agensi berkaitan.
Justeru, mangsa perlu diberikan ruang untuk berkongsi pengalaman tanpa dihukum, dipersalahkan atau dipaksa membuat keputusan secara tergesa-gesa.
Penganjuran Siswi Talk: Break The Silence dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membina budaya kampus yang lebih peka terhadap isu gangguan seksual.
Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kesejahteraan mahasiswa.
Sehubungan itu, program kesedaran seperti ini wajar diperluaskan secara lebih konsisten bagi memastikan mahasiswa memahami hak mereka, mengetahui saluran bantuan yang tersedia serta berani mendapatkan pertolongan apabila berdepan situasi yang mengancam keselamatan diri.
Dalam usaha mewujudkan kampus yang lebih selamat, kesedaran, keberanian untuk melapor dan sokongan institusi yang berkesan merupakan elemen penting bagi memastikan setiap mahasiswa dapat belajar dan berkembang dalam persekitaran yang selamat serta sejahtera.
