66 pelatih Malaysia tamat latihan rel di China, bakal terajui operasi ECRL
SELEPAS setahun menjalani latihan teknikal intensif di China, seramai 66 pelatih Program Latihan Kemahiran Industri-ECRL (PLKI-ECRL) kini bersedia melangkah ke fasa baharu apabila bakal memainkan peranan penting dalam operasi dan penyelenggaraan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Kejayaan menamatkan latihan di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), Liuzhou itu bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi buat para pelatih, malah mencerminkan usaha berterusan membangunkan tenaga kerja mahir tempatan bagi menyokong industri rel negara.
Kejayaan itu membolehkan kesemua pelatih diserap secara automatik ke dalam fasa Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL sekali gus menjadi kumpulan pertama rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan program latihan PLKI-ECRL O&M di institusi berkenaan.
Majlis Graduasi Program Latihan PLKI-ECRL O&M Kumpulan 1 Tahun 2026 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan kesemua 66 pelatih menerima sijil tamat latihan yang disampaikan Setiausaha Parti LRVTC, Wang Hanqiang dan Presiden LRVTC, Qin Haibo.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak serta Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Deng Bo.

Graduan kumpulan pertama itu akan ditempatkan dalam pelbagai bidang operasi melibatkan Pegawai Bertugas Stesen seramai 34 orang, Juruteknik Penyelenggaraan EMU (19) dan Juruteknik Sistem Semboyan (13) bagi rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer.
Program latihan PLKI-ECRL O&M merupakan antara inisiatif pembangunan modal insan jangka panjang ECRL bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan untuk menyokong operasi dan penyelenggaraan infrastruktur rel nasional yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan hingga Pelabuhan Klang, Selangor.
Sejak Mei 2025, seramai 259 rakyat Malaysia daripada tiga kumpulan telah mengikuti pelbagai program latihan PLKI-ECRL O&M di LRVTC.
Sementara itu, Darwis merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan menamatkan latihan dan menyifatkan pencapaian itu selari dengan matlamat MRL dalam membangunkan tenaga kerja ECRL yang kukuh serta mampan.
Menurut beliau, program latihan tersebut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemahiran teknikal bidang rel selain memberi pengalaman praktikal kepada graduan sebelum menyertai pasukan ECRL menjelang fasa kritikal Ujian dan Pentauliahan infrastruktur rel yang dijadual bermula Jun 2026.
“Pencapaian ini juga mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dan China dalam memperkasa kepakaran sektor rel serta memudahkan pemindahan teknologi canggih.
“Ia turut memperkukuhkan kerjasama strategik 50:50 antara MRL dan CCCECRL dalam mengendalikan serta menyelenggara ECRL dengan matlamat bersama untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan rel yang moden, efisien dan mesra alam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan CCCECRL, Deng Bo berkata, kejayaan para pelatih menamatkan latihan selama setahun membuktikan tahap dedikasi dan komitmen tinggi mereka dalam bidang rel.

“Kami berbesar hati untuk menyokong inisiatif ini bersama MRL yang turut menggambarkan komitmen bersama dalam pembangunan bakat tempatan, pemerkasaan pemindahan ilmu serta memperkukuh keupayaan industri rel Malaysia.
“Para graduan ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan operasi dan kualiti perkhidmatan jangka panjang ECRL,” katanya.
Beliau berkata, CCCECRL akan terus komited memperkukuh kerjasama Malaysia-China dalam merealisasikan sistem rel tolok standard yang moden dan mampan untuk negara ini.
Kumpulan kedua dan ketiga pelatih PLKI-ECRL O&M di LRVTC dijangka menamatkan latihan masing-masing pada suku ketiga tahun 2026.
Bidang latihan mereka merangkumi Pegawai Bertugas Stesen, Juruteknik Sistem Semboyan, Juruteknik Kabel Talian Atas, Juruteknik Penyelenggaraan Lokomotif dan Penolong Pemandu Tren.
Program PLKI-ECRL O&M dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta agensi tempatan termasuk institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional MARA (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM).
Turut terlibat ialah Politeknik Malaysia, Pahang Skills Development Centre, UCYP University, Advanced Technology Centre (ADTEC) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).
