UNIVERSITI Malaya dijangka kembali ‘gegar’ apabila lebih 7,500 atlet mahasiswa dari seluruh negara bakal berhimpun sempena temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung bermula 28 Ogos hingga 6 September depan.

Temasya sukan mahasiswa terbesar negara itu dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Mahasiswa Universiti Swasta Malaysia (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM).

Dengan tema “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 bakal menghimpunkan mahasiswa terbaik dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan selain menjadi platform mencungkil bakat baharu atlet IPT.

Lebih menarik, edisi kali ini dijangka melibatkan 65 kontinjen dengan penyertaan lebih 7,500 atlet, 2,000 pegawai dan 800 sukarelawan sekali gus menjadikannya antara temasya sukan mahasiswa paling besar pernah dianjurkan di Malaysia.

- Advertisement / Iklan -

Sebanyak 30 acara sukan akan dipertandingkan dengan 251 pingat emas menjadi rebutan termasuk badminton, bola sepak, hoki, renang, taekwondo, silat, sepak takraw, ragbi tujuh sebelah, tenis, bola keranjang hinggalah e-sukan.

Kepelbagaian acara itu bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai mahasiswa menyerlahkan bakat, malah membuktikan komitmen KPT dalam memperkasakan budaya sukan dalam kalangan warga IPT.

- Advertisement / Iklan -

SUKIPT 2026 turut tampil dengan identiti lebih segar menerusi logo rasmi yang menggunakan gabungan warna biru, merah, hitam dan emas sebagai simbol perpaduan, kekuatan serta semangat juang atlet mahasiswa.

Tidak ketinggalan, maskot rasmi temasya kali ini iaitu Musang Pandan atau Common Palm Civet dipilih sebagai simbol atlet yang tangkas, bijak dan dinamik di samping membawa mesej kesedaran terhadap pemeliharaan biodiversiti negara.

Majlis Pelancaran SUKIPT 2026 telah berlangsung di Dewan Tunku Canselor UM pada Selasa sebelum temasya membuka tirai secara rasmi pada penghujung Ogos nanti.

Selain acara sukan, SUKIPT 2026 turut diserikan dengan sambutan Bulan Kebangsaan dan Karnival Keusahawanan Mahasiswa bagi menyemarakkan elemen patriotisme, kepimpinan serta keusahawanan dalam kalangan peserta.

Malah, insentif khas RM20,000 turut ditawarkan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebagai suntikan motivasi untuk terus mencipta kecemerlangan.