BUKAN sekadar belajar di bilik kuliah, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut berpeluang meneroka dunia kecantikan dan penjagaan diri menerusi Kursus Pembuatan Produk Kecantikan anjuran Mahallah Maryam yang berlangsung meriah di Wadi Budi, UIAM.

Disertai seramai 25 peserta, program tersebut memberi pengalaman hands-on kepada pelajar untuk menghasilkan produk kecantikan berasaskan madu dan propolis daripada lebah kelulut yang terkenal dengan khasiat semula jadinya.

No Image Caption

Melalui kursus itu, peserta didedahkan dengan teknik penghasilan sabun kecantikan secara home-made menggunakan bahan bernutrisi tinggi yang lebih selamat, mesra pengguna dan mesra alam.

- Advertisement / Iklan -

Selain membantu melembapkan kulit, madu kelulut dan propolis juga mempunyai kandungan antioksidan yang baik untuk kesihatan kulit. Penggunaan bahan semula jadi dalam produk kecantikan kini semakin mendapat perhatian pengguna yang lebih peka terhadap aspek keselamatan dan kandungan produk yang digunakan.

Sepanjang program berlangsung, peserta bukan sahaja mengikuti sesi teori, malah turut terlibat dalam demonstrasi dan latihan praktikal bagi memahami setiap proses penghasilan produk dengan lebih jelas.

- Advertisement / Iklan -

Mereka didedahkan dengan teknik asas pembuatan sabun kecantikan termasuk pemilihan bahan, pengiraan formulasi serta kaedah pembungkusan produk.

No Image Caption

Program tersebut turut dibimbing tenaga pengajar daripada Kelulut Research Group yang berkongsi ilmu berkaitan standard keselamatan produk serta potensi industri penjagaan kulit yang semakin berkembang pesat.

Industri penjagaan kulit global kini menjadi antara sektor yang berkembang aktif dengan nilai pasaran melebihi USD200 bilion pada tahun 2026, didorong peningkatan kesedaran pengguna terhadap penggunaan produk berasaskan bahan semula jadi dan selamat.

Bagi peserta, program seperti ini bukan sahaja membuka peluang mempelajari kemahiran baharu di luar bilik kuliah, malah memberi inspirasi untuk meneroka potensi menjana pendapatan melalui produk kecantikan buatan sendiri.

No Image Caption

Malah, peserta turut berpeluang menghasilkan produk mereka sendiri sepanjang bengkel berlangsung sekali gus meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran teknikal dalam bidang berkenaan.

Penganjuran program ini turut mencerminkan usaha UIAM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki kemahiran insaniah dan nilai keusahawanan.

Kerjasama antara Mahallah Maryam dan Kelulut Research Group juga dilihat terus memainkan peranan penting dalam menyediakan platform pembangunan diri kepada pelajar serta mewujudkan komuniti kampus yang lebih kreatif, produktif dan inovatif.

* Penulis, Dr Adibah Amir ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Bahan Kulliyyah Kejuruteraan, UIAM