Inovasi BizBreath UNITEN bantu usahawan mikro urus kewangan secara digital
SEKUMPULAN penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) membangunkan inovasi digital dikenali sebagai BizBreath SME Pulse (BSP), sebuah sistem pemantauan kewangan mesra pengguna bagi membantu usahawan mikro mengurus aliran tunai secara lebih sistematik dan efisien.
Inisiatif itu diterajui Dr Noor Awanis Muslim bersama barisan penyelidik UNITEN terdiri daripada P.M. Dr Abdul Aziz Mat Isa, Dr Noraini Ismail dan Mohd Asri Mohd Ali.
Melalui gabungan kepakaran akademik dan teknikal, pasukan berkenaan berjaya menghasilkan aplikasi yang memudahkan pengguna merekod kewangan harian tanpa memerlukan kemahiran perakaunan yang kompleks.
BizBreath dibangunkan sebagai solusi kepada masalah Manual Ledger Fatigue yang sering dihadapi usahawan mikro, khususnya mereka yang masih bergantung kepada rekod manual serta sukar memahami sistem perakaunan tradisional.
Aplikasi itu menggunakan pendekatan visual menerusi sistem Pulse Gauge atau nadi kesihatan yang memaparkan status kewangan perniagaan secara masa nyata sama ada berada dalam keadaan sihat, stabil atau defisit.
Menurut Dr Noor Awanis, pembangunan BizBreath bukan sekadar menghasilkan aplikasi kewangan biasa, sebaliknya membantu usahawan kecil membuat keputusan kewangan dengan lebih cepat dan yakin.

“Ramai usahawan mikro mempunyai potensi besar, namun berdepan kesukaran mengurus aliran tunai dan rekod kewangan secara konsisten.
“BizBreath dibangunkan supaya mereka dapat melihat ‘kesihatan’ kewangan perniagaan dengan lebih jelas tanpa perlu memahami istilah perakaunan yang rumit,” katanya.
Baru-baru ini, aplikasi berkenaan diperkenalkan kepada 29 peserta daripada Komuniti Mualaf He Ping yang majoritinya terdiri daripada golongan ibu tunggal menerusi Program Pemindahan Ilmu Kewangan Digital anjuran UNITEN.
Menerusi program itu, para peserta diberikan latihan praktikal menggunakan aplikasi berkenaan dalam pengurusan kewangan harian mereka.
Salah seorang peserta, Nordiana Chu Abdullah berkata, BizBreath banyak membantu dalam mengurus rekod perniagaan secara lebih teratur.
“Sebelum ini saya selalu terlupa mencatat perbelanjaan dan pendapatan harian.
“Dengan BizBreath, semuanya lebih mudah dan saya dapat melihat sendiri keadaan kewangan perniagaan tanpa rasa pening dengan angka yang banyak,” ujarnya.
Selain fungsi pemantauan kewangan, BizBreath turut menyediakan sistem penjanaan laporan PDF secara automatik bagi memudahkan pengguna menyimpan rekod transaksi secara digital.
Aplikasi itu juga boleh digunakan secara offline, sekali gus lebih praktikal untuk usahawan kecil di pelbagai lokasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada capaian internet.
Dalam masa sama, pembangunan BizBreath selari dengan agenda pendigitalan negara selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12) menerusi pengurangan penggunaan rekod kertas dalam pengurusan kewangan perniagaan kecil.
Kejayaan projek tersebut membuktikan komitmen UNITEN dalam memperkasa komuniti melalui inovasi teknologi yang praktikal dan memberi impak langsung kepada masyarakat, khususnya golongan usahawan mikro, ibu tunggal serta komuniti mualaf agar terus mampu bersaing dalam era ekonomi digital masa kini.
