UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan keupayaannya melahirkan graduan berkualiti dan relevan dengan kehendak industri apabila merekodkan peningkatan memberangsangkan dalam kadar kebolehpasaran graduan bagi tahun 2025.

Lebih membanggakan, hampir keseluruhan graduan universiti itu berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian selain mencatat peningkatan dalam kadar pekerjaan mengikut bidang pengajian serta gaji premium, sekali gus mengukuhkan reputasi UTeM sebagai antara institusi TVET pilihan utama majikan di negara ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pencapaian itu membuktikan graduan universiti berkenaan kekal menjadi pilihan industri dan majikan.

Menurut beliau, data terbaharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunjukkan kadar bekerja graduan (GE) UTeM meningkat kepada 99.2 peratus pada tahun 2025 berbanding 97.9 peratus pada tahun sebelumnya.

- Advertisement / Iklan -

“Bagi kadar kebolehpasaran graduan (GM), UTeM turut merekodkan peningkatan kepada 98.7 peratus berbanding 98.1 peratus pada 2024.

“Lebih membanggakan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian masing-masing turut meningkat daripada 65.1 peratus pada 2024 sebelum melonjak kepada 70.1 peratus pada tahun ini membabitkan seramai 1,698 graduan,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian ketika mengulas pencapaian semasa kebolehpasaran graduan UTeM bagi tahun 2025.

Dalam pada itu, Massila berkata, trend peningkatan pendapatan graduan turut mencerminkan keyakinan industri terhadap kualiti bakat yang dilahirkan UTeM.

Katanya, jumlah graduan memperoleh gaji premium RM4,000 ke atas meningkat kepada 279 orang atau 11.8 peratus pada tahun ini berbanding 256 orang atau 10.8 peratus pada 2024.

“Selain itu, seramai 488 graduan atau 20.6 peratus memperoleh gaji RM3,500 ke atas pada tahun ini berbanding hanya 19.6 peratus pada 2024.

“Purata gaji bulanan graduan juga meningkat kepada RM2,821.70 pada 2025 berbanding RM2,742.80 pada 2024,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan berkenaan didorong oleh kurikulum pengajian yang sentiasa relevan dengan kehendak semasa industri dan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata, sokongan berterusan KPT menerusi dana intervensi kebolehpasaran graduan termasuk pensijilan profesional serta jaminan penempatan pekerjaan turut menjadi antara faktor utama pencapaian tersebut.

“UTeM bukan sekadar melahirkan graduan yang mudah mendapat pekerjaan, malah berjaya menghasilkan bakat berkualiti tinggi yang diiktiraf industri melalui peningkatan pendapatan yang signifikan,” katanya.