KEMENANGAN Mohamad Haikal Aiman Abdullah sebagai juara Senada Putra 19 bukan sekadar hasil vokal dan persembahan memukau, tetapi turut hadir bersama mesej penuh kasih sayang buat adik-beradiknya.

Pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan dari Kolej Canselor itu berkata, lagu yang dipersembahkan pada malam akhir dipilih khas bagi menggambarkan kasih seorang abang sulung terhadap keluarga.

No Image Caption

Menurut Haikal, walaupun anak sulung sering dilihat tegas dan garang, jauh di sudut hati mereka tetap menyayangi adik-adik.

- Advertisement / Iklan -

“Biasanya anak sulung ini nampak garang dalam keluarga. Adik-adik pula fikir abang tidak sayang mereka.

“Sebab itu saya pilih lagu ini untuk tunjukkan sebenarnya abang sayang mereka,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

No Image Caption

Haikal turut berkongsi nasihat kepada pelajar lain yang ingin menyertai pertandingan nyanyian pada masa hadapan.

“Bila menyanyi, kita kena ikhlas. Jangan menyanyi semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Kalau ikhlas, apa yang kita sampaikan akan sampai kepada penonton.

“Selain itu, kena pandai urus masa. Belajar tetap keutamaan kerana tujuan kita masuk universiti adalah untuk belajar,” katanya.

Mengulas cabaran menjaga suara sebagai pelajar, beliau mengakui perlu berdisiplin terutama dari segi pemakanan dan penjagaan kesihatan.

“Tiga hari sebelum pertandingan saya demam dan suara memang belum pulih sepenuhnya. Sebagai pelajar, kadang-kadang susah nak kawal makan sebab banyak makan di luar.

No Image Caption

“Tetapi kalau mahu jaga suara, kena kurangkan makanan berminyak, pedas dan minuman sejuk. Memang susah bila tengok kawan makan ais, tetapi kena kawal diri,” katanya sambil ketawa.

Berkongsi perancangannya selepas ini, Haikal berkata minat terhadap seni akan terus diteruskan seiring cita-citanya untuk menjadi seorang guru.

“Saya memang bakal guru dan bidang seni ini juga minat saya. Dulu saya aktif dengan sajak, syair dan deklamasi puisi.

“Nanti kami juga akan adakan mini konsert puisi di fakulti. Banyak lagi yang saya mahu belajar dan saya mahu bawa pengalaman ini kepada anak murid saya nanti,” katanya. - Sinar Varsity