Senada Putra lahirkan bakat seni, semarak budaya kampus UPM
PROGRAM Senada Putra bukan sekadar pertandingan nyanyian, sebaliknya menjadi medan penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat seni dalam kalangan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penganjuran program yang sudah memasuki edisi ke-19 itu dilihat berjaya melahirkan ramai pelajar berbakat sekali gus memperkukuh agenda seni budaya di kampus.
Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM, Husalshah Rizal Hussain berkata, program tersebut memberi impak besar kepada pembangunan bakat pelajar sekali gus melestarikan agenda seni budaya di kampus.

Menurut beliau, Senada Putra berjaya melahirkan ramai pelajar berbakat yang kini menjadi antara aset penting universiti dalam pelbagai acara seni dan kebudayaan.
“Alhamdulillah, impaknya memang dahsyat. Di pusat kebudayaan UPM sendiri, kami kini mempunyai lebih 60 pelajar yang boleh menyanyi dalam pelbagai genre hasil daripada program Senada Putra ini.
“Kami tidak berdepan masalah untuk mengetengahkan mereka ke peringkat lebih besar seperti Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia, peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, PKKSSAAS turut menerima permintaan daripada jabatan dan agensi luar yang memerlukan perkhidmatan persembahan nyanyian.
“Kami bukan sekadar melahirkan bakat, tetapi menyediakan platform mengikut permintaan dan kesesuaian pelanggan.
"Ramai sebenarnya pelajar berbakat di UPM,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Senada Putra pada awal penganjurannya lebih bersifat apresiasi persembahan bagi meraikan bakat staf, alumni dan pelajar UPM sebelum format pertandingan diperkenalkan bermula edisi ke-13.
“Program ini bukan semata-mata untuk melahirkan penyanyi profesional kerana peserta datang daripada pelbagai latar belakang pengajian seperti kejuruteraan, sains pertanian, sains sosial dan perniagaan.
“Tetapi bakat mereka perlu diraikan supaya dapat membina keyakinan diri dan mengembangkan kemahiran insaniah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap legasi Senada Putra dapat diteruskan kerana seni budaya memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana kampus yang harmoni dan meriah.
“Saya harap legasi ini akan terus diperkasakan kerana mereka menjadi tunjang kepada kemeriahan dan keharmonian suasana kampus. Kita mahu melestarikan agenda seni budaya dalam kalangan warga universiti,” katanya.
