UTeM pacu inovasi plastik terbiodegradasi halal bersama universiti Rusia
UNIVERSITI Teknikal Malaysia Melaka terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Bioteknologi Rusia (Rosbiotech) bagi membangunkan plastik terbiodegradasi untuk pembungkusan makanan dengan pensijilan halal.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, penyelidikan tersebut memberi fokus kepada pembangunan bahan komposit biodegradasi berasaskan Polylactic Acid (PLA) yang diperkuat menggunakan sekam padi untuk aplikasi pembungkusan makanan halal.
Menurut beliau, kerjasama itu dilihat mampu memberi impak besar di peringkat antarabangsa kerana selari dengan permintaan global terhadap bahan pembungkusan makanan yang lebih mesra alam, biodegradasi dan selamat digunakan mengikut piawaian halal.
“Kerjasama ini membuka ruang perkongsian kepakaran, sumber penyelidikan, data teknikal serta kemudahan antara kedua-dua institusi bagi memperkukuh pembangunan teknologi hijau dan inovasi halal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Surat Niat (LoI) antara UTeM dan Rosbiotech yang berlangsung di Tomsk.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua institusi turut bersetuju menjalankan penyelidikan bersama serta pembangunan modal insan menerusi program latihan, pertukaran akademik dan inisiatif penyelidikan kolaboratif.
Dalam perkembangan sama, Universiti Teknikal Malaysia Melaka turut menandatangani LoI bersama State University of Land Use Planning bagi memperluaskan kerjasama akademik dan penyelidikan.
Antara bidang kerjasama yang dicadangkan termasuk pembangunan sistem robotik untuk penuaian kelapa sawit, kerjasama makmal, mobiliti pelajar serta pertukaran staf akademik dan penyeliaan bersama.
Majlis menandatangani kedua-dua LoI berkenaan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Airat Gatiyatov.
Turut hadir Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM), Profesor Madya Dr. Nadlene Razali serta Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib.
Pada masa sama, UTeM turut bersetuju melaksanakan program dwi-ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal bersama Moscow Aviation Institute sebagai usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa universiti itu.
