Pelajar Tahun 3 Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program komuniti Campus Garden Fiesta bagi meningkatkan pengambilan sayur-sayuran serta kesedaran keselamatan pendedahan cahaya matahari dalam kalangan pelajar dan kakitangan UKM Kampus Kuala Lumpur.

Program berlangsung di hadapan Dewan Kuliah 1, FSK itu dianjurkan susulan dapatan penilaian keperluan awal yang menunjukkan 76.7 peratus daripada 146 pelajar prasiswazah tidak mengambil sayur-sayuran mencukupi, iaitu kurang daripada tiga hidangan sehari, selain tahap amalan keselamatan pendedahan cahaya matahari yang rendah dengan skor purata 57.4 peratus.

Penyelia projek, Profesor Dr Zahara Abdul Manaf berkata, program tersebut merangkumi tiga stesen utama yang menekankan pendekatan pendidikan berasaskan komuniti dan pembelajaran secara praktikal.

“Stesen pertama memberi tumpuan kepada aktiviti berkebun praktikal termasuk kaedah penanaman, penyelenggaraan dan penuaian, selain tontonan video pendidikan, kuiz interaktif dan sesi penyemaian benih sayur-sayuran,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata, peserta turut didedahkan dengan aktiviti Plant Adoption bagi menggalakkan amalan kelestarian serta penglibatan aktif dalam inisiatif hijau di kampus.


Pelbagai aktiviti membantu peserta mengenal pasti jenis sayur, memahami manfaat kesihatan serta menyesuaikan amalan pemakanan sihat.
Pelbagai aktiviti membantu peserta mengenal pasti jenis sayur, memahami manfaat kesihatan serta menyesuaikan amalan pemakanan sihat.

- Advertisement / Iklan -

Ketua kumpulan pelajar, Wong Jia Hui berkata, pendekatan interaktif digunakan bagi meningkatkan minat dan keyakinan peserta untuk mengamalkan pengambilan sayur-sayuran dalam diet harian.

“Aktiviti seperti permainan Vegetable Bingo dan demonstrasi penyediaan hidangan ringkas berasaskan sayur-sayuran membantu peserta mengenal pasti jenis sayur, memahami manfaat kesihatan serta menyesuaikan amalan pemakanan sihat dalam kehidupan di kolej kediaman,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Nor Aini Jamil @ A. Wahab berkata, stesen ketiga memfokuskan kepada kesedaran mengenai indeks sinaran ultraungu (UV) dan amalan perlindungan diri semasa aktiviti luar.

“Peserta didedahkan cara menyemak indeks UV serta memahami manfaat dan risiko pendedahan cahaya matahari bagi mengamalkan perlindungan diri yang lebih selamat,” katanya.

Kesimpulannya, Campus Garden Fiesta berjaya tingkatkan kesedaran kesihatan, memupuk kemahiran praktikal serta menggalakkan gaya hidup sihat dan lestari dalam kalangan pelajar dan kakitangan, sejajar dengan inisiatif Eco-Kampus UKM.