Mahasiswa UTeM pamer taring di Indonesia, sapu emas kepimpinan global
MAHASISWA Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa pulang pingat emas dalam program Global Leadership and Well-Being Immersion 2026 yang berlangsung di Universitas Ahmad Dahlan, Yogyakarta, Indonesia.
Kejayaan itu diraih menerusi pembentangan bertajuk Best Practice in Green Leadership Development: UTeM’s Lake Sustainability Program oleh dua mahasiswa, Muhammad Haziq Damia Mohd Rizal, 20, dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Muhammad Hifzhan Muhammad Fauzi, 22, dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).
Program berprestij yang berlangsung dari 23 hingga 30 April itu menghimpunkan penyertaan pelajar dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjadi platform mengasah bakat kepimpinan mahasiswa di peringkat global.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk Regional Global Leadership for Sustainable Economy & Well-Being, Peers Support & Helping Skills Certification, Program Community Well-Being & Volunteerism Action serta Youth Goodwill & Community Engagement.
Tidak terhenti di situ, UTeM turut meraih satu lagi kejayaan apabila dua mahasiswanya membawa pulang pingat perak menerusi projek Nasi Dagang Explorer: A Student-Led Cultural Leadership Initiative.
Mereka ialah Siti Shahida Sulani, 22, dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) dan Nur Ameera Safera Muhammad Ikhwan, 20, dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM).
Kejayaan ini membuktikan kemampuan mahasiswa UTeM dalam mengangkat elemen kepimpinan lestari serta budaya tempatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha melahirkan graduan berdaya tahan dan berimpak tinggi.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamarludin berkata, pencapaian tersebut membuktikan mahasiswa universiti itu mampu bersaing di peringkat global bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga kepimpinan dan kesejahteraan diri.
Menurutnya, penglibatan dalam program seperti ini menjadi pemangkin kepada pembentukan pemimpin masa depan yang holistik, beretika dan berdaya saing.
Program Global Leadership and Well-Being Immersion 2026 dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan generasi Peer Leader Beyond Borders yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat sejagat.
