UMK terima hampir RM7.4 juta dana wakaf, bukti kepercayaan industri
USAHA memperkukuh kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan apabila Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mengumpul dana wakaf dan endowment berjumlah RM7,390,960.05 hasil sumbangan rakan strategik industri sejak tahun 2019 hingga 2025.
Dana yang diselaraskan melalui Pusat Kewangan Lestari (CFS) itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan tahap kepercayaan tinggi sektor korporat terhadap peranan universiti dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang inklusif.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr Arham Abdullah berkata, sumbangan daripada rakan strategik seperti Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamic, Bank Islam Malaysia Berhad dan Permodalan Nasional Berhad membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar nilai kewangan.
Menurut beliau, jaringan kolaborasi antara UMK dan industri jelas menunjukkan komitmen bersama dalam memastikan setiap sumbangan yang diberikan mampu memberi impak transformatif kepada pelajar, khususnya golongan asnaf.
“Kolaborasi strategik ini tidak lain adalah kami mahu memastikan bahawa tiada pelajar di UMK yang tercicir daripada arus pendidikan tinggi kerana faktor kekangan kewangan.
“Melalui sinergi strategik ini, UMK bukan sahaja berperanan sebagai menara ilmu, malah sebagai pengurus amanah yang berintegriti dalam mengimbangi keperluan akademik dan kelestarian sosial.
“Fokus kami melangkaui sekadar agihan, tetapi untuk memperkasa pelajar asnaf agar mereka mampu menjadi penyumbang semula kepada masyarakat (muzakki) pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik (MARS2026) yang berlangsung di Tamu Hotel & Suites.
Majlis itu telah disempurnakan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Prof. Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Tabung Endowmen dan juga Mantan Naib Canselor Pertama UMK, Prof. Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Zainai Mohamed.
Dalam masa sama, Hassan Basri menegaskan bahawa sumbangan rakan strategik merupakan pemacu penting kepada usaha memperkukuh agenda pendidikan dan kebajikan universiti.
“Kami menyedari bahawa setiap sumbangan zakat yang disalurkan adalah satu amanah besar yang perlu dipertanggungjawabkan.
“Ahli Lembaga Pengarah sentiasa memantau dan memastikan dana yang diuruskan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, seterusnya menyumbang kepada kelestarian kewangan universiti demi masa depan pelajar asnaf kita,” jelas beliau.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar, malah memperlihatkan bagaimana kerjasama erat antara universiti dan industri mampu mencipta impak yang lebih besar kepada masyarakat.
