UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memberi jaminan akan terus memperketat pemantauan harga dan tahap kebersihan makanan di semua premis melibatkan lebih 300 kampusnya di seluruh negara terutama dengan ketidaktentuan geopolitik dunia akibat konflik di Asia Barat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, langkah itu diambil bagi memastikan harga makanan kekal berpatutan tanpa menjejaskan kualiti serta kebersihan yang menjadi keutamaan di semua kampus UiTM.

Menurutnya, pemantauan menyeluruh itu melibatkan pelbagai lokasi termasuk kafeteria fakulti, dewan makan, kompleks sukan serta premis makanan di kampus-kampus cawangan di seluruh negara.

"Kita akan memantau keseluruhan premis makanan di semua kampus UiTM. Fokus kita adalah memastikan harga yang dikenakan berpatutan untuk pelajar dan pada masa sama kebersihan serta kualiti makanan tidak dikompromi," katanya

- Advertisement / Iklan -

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Hakim Cafe di Pusat Sukan UiTM Shah Alam di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Pengarah Urusan Restoran Hakim Sdn Bhd, Hakimsa Abdul Karim.

- Advertisement / Iklan -

Mohd Sazili memberitahu, UiTM tidak mahu berlaku situasi pelajar terbeban dengan harga makanan yang tinggi, manakala pengusaha pula terjejas akibat ketidakseimbangan permintaan dan jualan.

"Kita mahu ada keseimbangan lebih-lebih lagi pelajar perlu dijaga, tetapi pada masa sama pengusaha juga tidak boleh menanggung kerugian," jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, universiti turut meneliti mekanisme lebih sistematik termasuk sistem pra-tempahan makanan bagi mengelakkan pembaziran serta memastikan pengusaha dapat merancang penyediaan makanan dengan lebih efisien.

"Kadang-kadang makanan disediakan tetapi tidak habis dijual. Jadi kita sedang fikirkan kaedah seperti pra-tempahan supaya lebih terancang dan tidak merugikan mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat rungutan dalam kalangan pelajar berhubung harga makanan di kampus yang didakwa mahal, selain terdapat persepsi bahawa peniaga menutup operasi akibat kerugian.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, keadaan sebenar adalah berbeza apabila sesetengah pengusaha hanya menghentikan atau tidak meneruskan menu tertentu kerana sambutan pelajar yang kurang memberangsangkan.

"Ada yang kata peniaga rugi sampai tutup, sebenarnya tidak, cuma bila makanan disediakan tapi tidak habis dijual, itu menyebabkan kerugian kepada peniaga," tambah beliau.

Beliau berkata, corak pemilihan makanan dalam kalangan pelajar juga mempengaruhi jualan di premis kampus dengan menu sama yang berulang seperti ayam goreng menyebabkan sesetengah pelajar mula bosan dan tidak membeli.

"Mungkin hari-hari ayam goreng, pelajar pun jemu, sebab itu kita cadangkan variasi menu seperti ayam masak merah atau ikan keli goreng,” katanya.

Beliau menegaskan, setakat ini tidak berlaku sebarang laporan peniaga di kampus UiTM yang 'gulung tikar' atau menamatkan operasi akibat kerugian seperti didakwa.

"Setakat ini, saya tidak dengar ada peniaga gulung tikar di UiTM kerana ruang niaga ini juga kebanyakannya di bawah pengurusan pelajar, jadi ia masih terkawal.

"Walaupun terdapat persaingan dalam kalangan pengusaha, ia masih berada dalam keadaan stabil dan tidak menjejaskan operasi keseluruhan kafeteria di kampus," jelas beliau.