Demi memastikan tiada pelajar terpaksa belajar dalam keadaan lapar, inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau Dapur HEP diwujudkan sebagai ruang selamat bagi mahasiswa memasak, mendapatkan bahan asas dan mengurangkan kos sara hidup.

Lebih daripada sekadar tempat memasak, Dapur HEP juga berfungsi sebagai sistem sokongan menyeluruh bagi memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.

Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UiTM, Prof Madya Dr. Mohammad Noor Jalil berkata, objektif utama penubuhan Dapur HEP diwujudkan adalah untuk membantu pelajar di kolej kediaman, khususnya dari segi keperluan makanan.

Dapur HEP menggalakkan pelajar memasak sendiri sambil meluangkan masa bersama rakan.
Dapur HEP menggalakkan pelajar memasak sendiri sambil meluangkan masa bersama rakan.

- Advertisement / Iklan -

Katanya, terdapat laporan menunjukkan pelajar tidak makan kerana kekangan kewangan, justeru kemudahan ini diwujudkan sebagai ruang intervensi segera buat mereka.

“Dapur ini lengkap dengan peralatan asas dan bahan makanan tertentu yang boleh digunakan pelajar.

- Advertisement / Iklan -

“Jika mereka tidak mempunyai makanan atau wang, mereka boleh datang memasak secara percuma,” jelasnya ketika ditemui Sinar Varsity di Dapur HEP Kolej Kediaman Perindu, UiTM Shah Alam baru-baru ini.

Menurut beliau, berbeza dengan bantuan makanan siap, konsep Dapur HEP menggalakkan pelajar memasak sendiri sambil meluangkan masa bersama rakan.