BAGI pelajar perantau, terutama yang datang dari Sabah dan Sarawak, setiap sen memang bermakna apabila tiba musim Ramadan dan Aidilfitri.
Di Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT), satu inisiatif penyediaan juadah berbuka puasa secara infak sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelajar, malah ada yang dapat menyimpan duit untuk membeli tiket penerbangan pulang beraya bersama keluarga.
Seorang pelajar dari Sabah, Serkan berkata, program tersebut sangat membantu dirinya dan rakan-rakan kerana mereka tidak perlu mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk membeli makanan berbuka sepanjang Ramadan.
Menurutnya, wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk perkara lain, termasuk persediaan membeli tiket pulang ke kampung halaman.
“Program seperti ini memang membantu kami pelajar perantau. Bila dapat juadah berbuka secara infak, kami dapat berjimat sedikit perbelanjaan.
Program Maidaturrahman @ Lentera Qaseh 2026 yang dianjurkan oleh Unit Pengajian Am KKMT diadakan bagi memastikan pelajar mempunyai akses kepada juadah berbuka puasa, terutamanya bagi mereka yang memerlukan termasuk golongan rentan dan asnaf.
Pengarah program, Muhammad Muzzairy Idris berkata, inisiatif tersebut diinspirasikan daripada konsep “makanan dari syurga” yang membawa semangat berkongsi rezeki melalui infak juadah berbuka puasa.
Menurut beliau, program ini juga mengetengahkan konsep bersedekah dan saling membantu tanpa mengira latar belakang pelajar.
“Kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menjayakan program ini. Harapnya usaha kecil ini dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup pelajar sepanjang Ramadan,” katanya.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada Lentera Qaseh 2026, yang menghimpunkan pelbagai aktiviti kerohanian untuk pelajar institusi pengajian tinggi, sekali gus memupuk nilai kebersamaan, kepimpinan dan kesejahteraan dalam kalangan mahasiswa.