NAIB Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menegaskan universiti itu memandang serius sebarang isu berkaitan salah laku dan tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, melalui Pelan Transformasi Berimpak Tinggi UiTM 2030, universiti itu sentiasa memperkukuh mekanisme semak dan imbang, termasuk audit dalaman, fungsi integriti, pengurusan risiko dan penambahbaikan struktur organisasi serta pemantauan berterusan bagi memastikan setiap aspek pengurusan dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
"Integriti bukan hanya soal sistem dan prosedur tetapi soal amanah kepada Allah SWT, masyarakat dan generasi akan datang.
"UiTM tidak pernah bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah. Jika terdapat salah laku melibatkan individu tertentu, tindakan mesti diambil berdasarkan bukti serta melalui saluran yang sah dan kes terpencil tidak boleh dijadikan asas untuk melabel keseluruhan IPT (institut pengajian tinggi) sebagai"lubuk rasuah", jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menyokong pandangan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa pelabelan IPT sebagai"lubuk rasuah" adalah tidak wajar, susulan laporan sebuah akhbar dan portal berita mengenai isu rasuah melibatkan IPT.
Menjelas lanjut, Shahrin berkata dalam wacana akademik dan penyelidikan terdapat konsep hasty generalisation atau generalisasi terburu-buru, iaitu membuat kesimpulan besar daripada data atau cerapan yang kecil.
"Ia juga dikenali sebagai logical fallacy (kesalahan penaakulan) satu kesilapan dalam cara berfikir atau berhujah yang menyebabkan sesuatu hujah kelihatan benar tetapi sebenarnya lemah dari sudut logik kerana tidak disokong bukti yang mencukupi.
"Sebagai institusi ilmu, kita perlu berhati-hati agar tidak membuat kesimpulan menyeluruh tanpa asas yang kukuh. Penilaian terhadap mana-mana institusi mesti berlandaskan fakta, bukti dan konteks yang tepat," katanya.
Justeru dalam mendepani isu ini, beliau berkata, laporan perlu dibuat secara seimbang, berfakta dan bertanggungjawab agar tidak menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi pendidikan negara.
Shahrin berkata, pendekatan yang berhemah dan berasaskan fakta akan membantu memperkukuh sistem, manakala pelabelan menyeluruh tanpa konteks boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap usaha penambahbaikan yang sedang dan telah dilaksanakan oleh IPT.
UiTM turut menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan menyeru agar pelaporan berkaitan pendidikan tinggi dibuat secara adil, seimbang dan berasaskan fakta demi memelihara keyakinan awam terhadap institusi pendidikan negara. - Bernama