RM19.1b kepada KPT, universiti perlu buktikan impak kepada negara

- Advertisement / Iklan -

LEBIH satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi di Malaysia masih melakukan pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan mereka.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi berada dalam pekerjaan yang tidak memerlukan tahap kemahiran setinggi kelayakan mereka pada suku kedua 2026.

Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan pendidikan tinggi bukan sekadar melahirkan ramai graduan, tetapi juga memastikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat digunakan dalam pekerjaan yang sesuai serta memberi manfaat kepada kehidupan mereka dan masyarakat.

Dalam keadaan itu, peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Belanjawan 2027 membawa harapan besar.

- Advertisement / Iklan -

Ketika membentangkan belanjawan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pelbagai usaha melibatkan kemudahan kampus dan kebajikan mahasiswa.

Namun, persoalan utama bukan berapa besar peruntukan yang diumumkan itu, tetapi sejauh mana pelaburan tersebut menghasilkan graduan berkualiti, penyelidikan berguna dan manfaat kepada masyarakat.

- Advertisement / Iklan -

Sebanyak RM800 juta disediakan untuk menambah baik prasarana termasuk bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan menggantikan peralatan usang.

Bagi sesetengah pihak, perkara ini mungkin kelihatan seperti urusan penyelenggaraan biasa.

Hakikatnya, keadaan makmal, capaian kemudahan dan keselesaan tempat belajar boleh mempengaruhi pengalaman mahasiswa.

Sukar mengharapkan pelajar menguasai teknologi terkini jika peralatan yang digunakan jauh ketinggalan daripada keperluan industri.

Isu penginapan juga wajar diberi perhatian. Pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan bagi projek Vista Kampus di enam universiti terpilih menunjukkan keperluan menyediakan kediaman lebih baik.

Bagi pelajar yang datang dari jauh, kos sewa, pengangkutan dan makan boleh menjadi beban setiap bulan.

Asrama yang selamat dan mampu dihuni dengan kos berpatutan bukan kemewahan, sebaliknya sebahagian daripada sokongan untuk mereka menamatkan pengajian.

Begitu juga dengan makanan. Peruntukan RM20 juta untuk memperluas Dapur Siswa MADANI ke politeknik dan institut pendidikan guru, termasuk penyediaan Menu Kasih Siswa berharga RM5, menyentuh keperluan paling asas.

Ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut untuk berjimat, terutama apabila bantuan keluarga terhad. Pelajar yang cukup makan dan tidak terlalu dibebani masalah kewangan tentu lebih berpeluang memberi tumpuan kepada pelajaran.

Pelajar dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung, begitu juga sebaliknya, turut berdepan kos perjalanan pulang ke kampung.

Peningkatan bantuan tiket penerbangan FLYsiswa kepada RM500 yang dijangka memanfaatkan lebih 60,000 penuntut IPTA merupakan contoh bagaimana bantuan di atas kertas boleh memberi kelegaan besar kepada keluarga yang terlibat.

Bagi graduan pula, pengumuman penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan memberi sedikit ruang untuk membina kehidupan.

Mereka yang memperoleh RM2,500 hingga RM3,000 dikenakan bayaran minimum RM50, dengan lebih 400,000 peminjam dijangka mendapat manfaat.

Langkah ini mengakui cabaran gaji permulaan dan kos sara hidup.

Bagaimanapun, kelegaan hutang perlu bergerak seiring dengan usaha memperbaiki peluang pekerjaan.

Di sinilah universiti memainkan peranan yang lebih penting. Apabila masih ramai graduan bekerja dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan dan kemahiran mereka, universiti perlu memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan sesuai dengan keperluan dunia pekerjaan masa kini.

Pelajar juga perlu diberi peluang menjalani latihan industri yang berkualiti, mempelajari teknologi terkini dan menyelesaikan masalah sebenar. Dengan cara ini, mereka bukan sahaja memperoleh ijazah, malah mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan apabila memasuki alam pekerjaan.

Kerjasama antara universiti dengan pihak industri juga tidak seharusnya terhenti setakat menandatangani perjanjian sahaja.

Syarikat perlu memainkan peranan dengan memberi peluang kepada pelajar mendapat pengalaman kerja sebenar.

Pada masa sama, universiti perlu melihat kejayaan graduan bukan sekadar berdasarkan jumlah yang mendapat pekerjaan, tetapi juga melihat graduan menerima gaji yang sesuai dengan kelayakan dan mempunyai peluang untuk meningkatkan kerjaya pada masa hadapan.

Belanjawan 2027 turut menyediakan RM6 bilion untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan merentas kementerian.

Selain itu, kerajaan bersama Kumpulan Wang Persaraan mewujudkan dana UniVC berjumlah RM50 juta bagi membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran.

Peruntukan tersebut diumumkan secara berasingan daripada RM19.1 bilion KPT, tetapi menunjukkan peluang lebih luas untuk menjadikan penyelidikan sebagai pemacu penyelesaian masalah dan kegiatan ekonomi.

Rakyat tidak semestinya mahu mengetahui berapa banyak jurnal diterbitkan atau anugerah dimenangi.

Mereka lebih ingin melihat benih tanaman yang meningkatkan hasil petani, teknologi yang memudahkan rawatan pesakit atau inovasi yang membantu peniaga kecil.

Jika hasil penyelidikan dapat mengurangkan kos, membuka pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup, masyarakat akan lebih mudah memahami mengapa universiti memerlukan pelaburan besar.

Universiti juga perlu hadir dalam kehidupan masyarakat di luar pagar kampus. Melalui inisiatif Komuniti Angkat MADANI, institusi pendidikan tinggi dan latihan kemahiran dilibatkan untuk membantu penduduk perumahan rakyat.

Kepakaran pensyarah serta tenaga mahasiswa boleh diterjemahkan kepada latihan perniagaan, bimbingan akademik dan kemahiran digital. Kesan sebenar terletak pada perubahan yang berpanjangan, bukan jumlah program atau gambar aktiviti yang dikongsi.

Pada masa sama, usaha merangka undang undang pendidikan tinggi baharu bagi menggantikan AUKU membuka perbincangan tentang autonomi universiti dan kebebasan akademik.

Ruang berfikir, bertanya dan mengemukakan pandangan perlu dipelihara supaya universiti benar benar menjadi tempat melahirkan ilmu. Kebebasan itu pula harus disertai integriti, tanggungjawab dan kesediaan menyumbang kepada penyelesaian masalah negara.

Akhirnya, RM19.1 bilion bukan sekadar angka yang besar dalam dokumen belanjawan. Ia amanah yang perlu diterjemahkan kepada kampus lebih baik, mahasiswa lebih terbela, graduan lebih bersedia dan masyarakat yang menikmati hasil kepakaran universiti.

Penarafan antarabangsa dan penerbitan akademik tetap penting, tetapi ukuran paling bermakna ialah apabila ilmu yang dibina di universiti dapat memperbaiki kehidupan rakyat dan masa depan negara.

 

* Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali ialah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM