Budaya membaca memperkukuh daya fikir murid

- Advertisement / Iklan -

PENGUMUMAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pencapaian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan peningkatan dalam sains dan bacaan, namun penurunan skor matematik memerlukan perhatian serta tindakan susulan yang lebih bersasar.

Malaysia yang juga mencatatkan skor 419 mata dalam sains dan 393 mata dalam bacaan, masing-masing meningkat tiga dan lima mata berbanding 2022. Bagaimanapun, skor matematik menurun 12 mata kepada 397.

Peningkatan sains dan bacaan wajar dihargai, namun usaha dalam memperkukuh penguasaan murid perlu untuk diteruskan.

Penurunan bagi matematik pula menuntut penelitian terhadap keupayaan memahami konsep, mentafsir soalan dan menggunakan pengetahuan dalam situasi harian.

- Advertisement / Iklan -

Perubahan skor perlu dinilai bersama tahap penguasaan, jurang pencapaian sebelum keberkesanan sesuatu pendekatan pendidikan dapat dilaksanakan diperingkat nasional.

Dalam konteks antarabangsa pula, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi melaporkan bahawa kemerosotan pencapaian kemahiran bacaan, termasuk kemahiran menilai maklumat, menghubungkan pelbagai sumber dan berfikir secara kritis.

- Advertisement / Iklan -

Dalam masa yang sama proses dalam pembacaan yang dilakukan secara terburu-buru tetapi tidak teliti hampir berganda kepada sembilan peratus antara 2018 hingga 2025.

Sehubungan dengan itu, jika dibandingkan dengan kecenderungan yang telah dilaporkan diperingkat antarabangsa, peningkatan skor bacaan Malaysia memberikan perkembangan yang sangat menggalakkan.

Namun, kenaikan skor keseluruhan belum menjelaskan sama ada murid semakin mahir menilai kesahihan sumber atau memahami teks yang kompleks.

Walaubagaimanapun, dapatan antarabangsa mengenai amalan membaca secara terburu-buru sehingga menjejaskan kefahaman tidak boleh digeneralisasikan kepada seluruh murid Malaysia tanpa analisis khusus terhadap data yang ada di negara kita.

Persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah cara murid berinteraksi dengan bahan bacaan. Gaya membaca sepintas lalu mempunyai kegunaan untuk mencari maklumat tertentu.

Namun, apabila murid perlu untuk memahami sesuatu hujah atau perbincangan, dalam membandingkan bukti atau mengenal pasti percanggahan, mereka juga masih lagi perlu membaca dengan lebih teliti.

Sehubungan dengan itu, diharapkan pihak sekolah terutamanya masih juga perlu membimbing murid memilih cara membaca yang sesuai dengan tujuan tugasan yang telah diberikan.

Perbincangan ini juga amat berkait rapat dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Ringkasan yang dihasilkan AI boleh menjadi bahan bantuan, tetapi para pendidik juga perlu memastikan murid mampu menyemaknya dengan teks asal.

Dapatan PISA mengenai hubungan penggunaan AI dengan pencapaian juga perlu ditafsirkan secara berhati-hati kerana perkaitan tidak membuktikan hubungan sebab dan akibat.

Sebagai langkah praktikal, murid juga boleh diberikan dua laporan mengenai pencemaran sungai bersama satu ringkasan AI.

Mereka kemudiannya diminta untuk mengenal pasti fakta yang tercicir, membandingkan kesahihan sumber dan menjelaskan kesan pencemaran kepada masyarakat.

Aktiviti ini yang dicadangkan ini dapat menggabungkan sains, kemahiran bahasa dan pertimbangan etika melalui persoalan yang dekat dengan kehidupan.

Dalam konteks matematik pula, murid boleh menyemak pengiraan yang dilakukan oleh AI dan menerangkan setiap langkah pembetulan dengan baik.

Manakala, guru pula boleh menilai cara murid memahami masalah, memilih kaedah dan dapat menyemak latihan yang telah diberikan kepada murid.

Oleh yang demikian, latihan serta masa yang mencukupi juga perlu diberikan kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran sebegini.

Penggabungan STEM, seni dan kemanusiaan akan lebih bermakna apabila diterjemahkan melalui pengalaman pembelajaran sedemikian.

Murid akan berpeluang menghubungkan pengetahuan teknikal dengan komunikasi, penelitian bukti dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

PISA 2025 sewajarnya mendorong penambahbaikan yang dapat dirasai di bilik darjah. Keutamaan utama yang dapat dilihat ialah membentuk murid yang membaca dengan lebih teliti, memahami konsep dan membuat keputusan berdasarkan hanya kepada kesahihan bukti yang boleh diterima.

* Prof Madya Dr Hafizul Fahri Hanafi ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, UPSI