DALAM wacana yang lalu, penulis pernah melontarkan persoalan kritis melalui artikel"Wajarkah AUKU dimansuhkan?".
Tinta ketika itu digarapkan atas paksi kerisauan yang mendalam; membedah fungsi sebenar sebuah Akta yang selama ini menjadi tiang seri kestabilan institusi pengajian tinggi.
Kini, kerajaan telah menoktahkan polemik tersebut dengan pengumuman rasmi untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Sama ada kita menyorak pemansuhannya atau meratapi pemergiannya bukanlah isu pada hari ini. Isu yang jauh lebih mendesak dan kritikal ialah naratif kelangsungan prosesnya.
Jika sebuah binaan lama hendak dirobohkan, pelan induk binaan baharu mestilah jauh lebih utuh, teliti, dan kalis masa hadapan.
Evolusi AUKU dan Dinamika Tentangan
Sejak dilahirkan pada tahun 1971, AUKU telah melalui lapan fasa pindaan. Dari tahun 2012, 2018, sehinggalah ke pindaan terbaharu pada 2024, Akta ini cuba disesuaikan dengan denyut nadi zaman.
Pindaan terkini menyaksikan pemberian autonomi kewangan kepada badan pelajar dan pemindahan kuasa tatatertib daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar. Walaupun anjakan ini signifikan, suara mahasiswa terus bergema menuntut pemansuhan total.
Dari kaca mata objektif, hal ini berlaku kerana roh asal AUKU masih terikat pada falsafah era 70-an yang berorientasikan kawalan, menjadikannya sukar untuk benar-benar serasi dengan aspirasi kebebasan mutlak yang didambakan generasi kini.
Lanskap Perundangan yang Rencam dan Berselirat
Membina sebuah Akta baharu ibarat cuba menyatukan pulau-pulau perundangan yang terpisah. Realitinya, ekosistem pendidikan tinggi kita ditadbir oleh perundangan yang rencam (patchwork of laws).
AUKU mengawal selia 18 buah Universiti Awam (UA). Namun, Universiti Malaya (UM) masih mempunyai Akta Universiti Malaya 1961. Universiti Teknologi MARA (UiTM) teguh dipayungi Akta 173, manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) beroperasi di bawah Akta Syarikat.
Di sisi yang lain, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) terikat dengan Akta 555, sementara politeknik, kolej komuniti, dan institut perguruan dikawal selia di bawah Akta 174.
Menyatukan kesemua entiti yang memiliki DNA, sejarah dan objektif berbeza ini di bawah satu bumbung perundangan baharu adalah satu cabaran teknikal yang menuntut kebijaksanaan luar biasa.
Nadi AUKU: Lebih Daripada Sekadar Disiplin
Cabaran menggubal Akta baharu menuntut kefahaman yang tuntas bahawa AUKU bukanlah sekadar"rotan" untuk mendisiplinkan mahasiswa. Ia adalah dokumen tadbir urus tertinggi (governance) yang memaktubkan Perlembagaan Universiti.
Akta inilah yang menghidupkan entiti universiti sebagai sebuah badan korporat yang sah di sisi undang-undang.
Ia mengawal selia kuasa Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat, dan pengurusan aset serta dana pembayar cukai yang mencecah berbilion ringgit.
Memansuhkan AUKU bermakna keseluruhan rantaian tanggungjawab fidusiari ini perlu dipindahkan ke dalam kerangka baharu tanpa wujud sebarang lompang perundangan (legal vacuum) waima sesaat.
Sindrom"Tampal Sulam" dan Kejanggalan Tafsiran
Akibat dipinda berkali-kali secara"tampal sulam", dokumen perundangan ini sarat dengan paradoks. Tamsilnya, Perlembagaan Universiti masih menggunakan terma klasik seperti"guru" untuk merujuk kepada golongan sarjana dan pensyarah; satu istilah yang tidak lagi mencerminkan evolusi profesionalisme akademia moden.
Kerangka undang-undang yang dikemas kini sekerat jalan sering kali mengundang percanggahan antara niat penggubal (spirit of the law) dan hakikat operasi sebenar di lapangan.
Paradoks Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar (KTP) 2024
Kecelaruan akibat pindaan"tampal sulam" ini paling terserlah pada penguatkuasaan KTP 2024. Niat idealis untuk mendemokrasikan kuasa tatatertib telah memindahkan kuasa daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar (JTP) yang dianggotai sekurang-kurangnya tiga ahli yang dipengerusikan oleh seorang Timbalan Naib Canselor.
Kuasa yang diwakilkan oleh Naib Canselor berhubung tatatertib pelajar juga telah terbatal secara langsung.
Namun, realiti operasinya amat merumitkan. Kaedah 31 menetapkan bahawa hukuman tatatertib terus (seperti denda maksimum RM500) hanya boleh dikenakan jika kesalahan dilakukan"di hadapan, atau yang dilihat oleh pihak berkuasa tatatertib" (iaitu JTP).
Memandangkan tiada klausa pewakilan kuasa (delegation of power), adakah Timbalan Naib Canselor dan ahli jawatankuasanya perlu turun ke lapangan untuk melihat sendiri kesalahan lalu lintas atau buang sampah merata oleh pelajar sebelum boleh dikenakan denda terus?
Kelompongan ini secara teknikalnya telah melumpuhkan kuasa Pengawal Keselamatan (Polis Bantuan) dan Pengetua Asrama untuk menguatkuasakan tatatertib harian secara terus di kampus, melainkan mereka diangkat menjadi ahli JTP.
Rantaian Akta 605 Terhadap Kebebasan Akademia
Tidak hanya pentadbiran yang terpasung, golongan akademia turut terikat dengan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605). Di sinilah wujudnya pertembungan antara KPI akademik dan batasan perundangan.
Universiti hari ini menuntut para pensyarah menjadi intelektual awam, pakar rujuk industri, dan penjana kewangan melalui projek perundingan.
Namun, Peraturan 18 Akta 605 menyekat mereka daripada membuat pernyataan awam yang kritis terhadap dasar kerajaan, manakala Peraturan 4 melarang penglibatan dalam pekerjaan luar atau perundingan berbayar tanpa kelulusan birokrasi yang panjang.
Undang-undang serampang dua mata ini menjadi"pedang Damocles" yang merencatkan kebebasan akademik dan kelincahan kolaborasi industri.
Memetakan Ruang Lingkup Akta Baharu
Menyedari realiti ini, ruang lingkup Akta baharu (seperti kerangka One Higher Education Act) yang sedang diwacanakan mesti melangkaui sekadar"menukar kulit buku".
Akta yang bakal digubal wajib menyelaraskan fragmentasi perundangan antara UA, IPTS, dan institusi TVET secara berhemah.
Ia perlu memperuntukkan satu bab khusus bagi mengiktiraf kebebasan akademik sebenar, memisahkan akademia daripada cengkaman rigid Akta 605, dan dalam masa yang sama, merangka garis panduan konflik kepentingan (conflict of interest) yang menggalakkan, bukannya menghukum.
Bagi mahasiswa, ia perlu menyediakan entiti perundangan yang jelas agar Kesatuan Pelajar boleh bergerak secara matang dan berakauntabiliti.
Rumusan dan Melangkah ke Hadapan
Memansuhkan AUKU dan membina sebuah akta pendidikan tinggi yang baharu bukanlah satu proses magis yang boleh diselesaikan dalam semalaman. Kita tidak mahu sejarah berulang yang melahirkan sebuah Akta baharu yang ideal di atas kertas, namun cacat dan tempang ketika dilaksanakan di lapangan.
Proses penggubalannya mesti teliti, komprehensif, dan inklusif. Ia menuntut siri libat urus (engagement) yang jujur bersama pelbagai pemegang taruh; daripada pengurusan universiti, pakar perundangan, ahli akademik, wakil mahasiswa, sehinggalah kepada pemain industri.
Sebagai sebuah menara gading yang menjunjung tadbir urus yang utuh, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerusi pengalaman operasi dan kepakaran perundangannya, sentiasa bersedia untuk turut sama menggembleng tenaga.
Matlamat kita hanya satu; memastikan kompas perundangan baharu yang ditempa kelak tidak hanya berteori di awangan, tetapi benar-benar praktikal dan mapan dalam mengemudi bahtera pendidikan tinggi negara meredah lautan masa hadapan.
* Mohd Fuad Husaini ialah Penasihat Undang-Undang, UniSZA