‘Talian hayat’ pelajar NR

- Advertisement / Iklan -
Antara barangan keperluan yang disediakan dalam kotak NR Foodbank.
Sasaran 'zero hunger' pelajar di luar kampus melalui NR Foodbank

DALAM kalangan pelajar UiTM, nama NRFoodbank mungkin sudah biasa didengar namun tidak semua tahu bagaimana inisiatif ini sebenarnya menjadi ‘talian hayat’ bagi pelajar non-resident (NR) yang tinggal di luar kampus.

Menurut Pengetua Unit Pengurusan NR, Hisham Che Mat, NR Foodbank ditubuhkan untuk memastikan tiada pelajar yang menghadapi hari tanpa makanan, usaha ini mula diperkasakan sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020, ketika ramai pelajar terputus bekalan dan memerlukan bantuan segera.

“Matlamat utama kami adalah menjaga kebajikan pelajar NR dan mencapai sasaran sifar kelaparan atau zero hunger,” jelasnya.

Katanya, untuk memastikan bantuan lebih tersusun, pelajar digalakkan mendaftar setiap semester.

- Advertisement / Iklan -

“Rekod ini memudahkan penyaluran bantuan, walaupun hakikatnya NR Foodbank sentiasa bersedia membantu pada bila-bila masa.

“Antara rutin tetap ialah lawatan mesra ke rumah pelajar setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, di mana petugas menyerahkan kotak bantuan asas secara terus ke pintu rumah,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Di samping itu, Hisyam berkata, makanan bermasak turut disediakan di Pusat Khidmat Pelajar di Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam setiap Selasa hingga Jumaat selepas Asar.

“Ada juga Gerobok Rezeki yang dibuka 24 jam di hadapan Pejabat NR, tempat pelajar boleh mengambil keperluan asas seperti beras, kicap, sardin dan telur.

“Pelajar boleh datang bila-bila, siang atau malam, ikut waktu lapang mereka,” ujar Hisham lagi.

NR Foodbank bukan hanya tentang makanan

Menurut Hisyam lagi, unit ini juga membantu pelajar mencari tempat tinggal melalui platform NR Home iaitu pangkalan data rumah sewa yang memudahkan mereka mendapatkan kediaman selamat.

Hisyam. Foto kecil kiri: Shasha Nur Qamarina; kanan: Siti Aisyah

Tambahnya lagi, dalam situasi kecemasan seperti kecurian, kebakaran atau banjir, pasukan NR turut turun padang.

“Antara operasi besar yang diingati ialah banjir 2021 di Padang Jawa dan Seri Muda, ketika bot UiTM digerakkan untuk menyelamatkan pelajar serta penduduk.

“Mereka yang kehilangan tempat tinggal turut ditempatkan sementara di kolej kediaman,” katanya.

Menurut Hisham, impak NR Foodbank kini semakin ketara apabila kesedaran pelajar meningkat melalui media sosial JPNR dan jaringan komunikasi NR.

“Kalau mereka senyap dan simpan masalah sendiri, kita tak dapat bantu. Tapi bila mereka daftar dan bersuara, bantuan jadi lebih cepat sampai,” ujar Hisyam lagi.

Ada juga rumah pelajar yang memohon beras berkali-kali kerana bilangan penghuni yang ramai, sesuatu yang dianggap normal.

“Kalau mereka minta, itu maksudnya mereka perlukan. Hak mereka untuk dibantu,” katanya.

Hisyam berkata, sumber makanan NR Foodbank pula disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi dan Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UiTM, Profesor Madya Dr Mohammad Noor Jalil.

Bagaimanapun, sumbangan individu luar juga tidak putus. Ada yang menyumbang secara senyap tanpa mahu dikenali.

“Kadang-kadang kami datang pada waktu pagi, tengok gerobok dah penuh. Kita pun tak tahu siapa yang letak. Mereka buat dengan ikhlas,” kata Hisham.

Tambah Hisyam, NR Foodbank juga tidak pernah memilih bulu. Pelajar Muslim atau non-Muslim, apa jua latar belakang selagi mereka berdaftar dan memerlukan bantuan, pintunya sentiasa terbuka.

“Yang penting pelajar UiTM. Kaya atau miskin, Sabah atau Sarawak kalau minta, kita bantu,” katanya.

Mengenai penambahbaikan, Hisham mengalu-alukan cadangan daripada pelajar, termasuk 50 wakil NR yang menjadi mata dan telinga pengurusan.

“Cadangan menu makanan misalnya, sering diberi perhatian. Jika pelajar mahukan variasi selain menu rutin, katerer akan menyediakan hidangan seperti spaghetti atau pilihan lain mengikut keperluan.

“Namun, satu cabaran yang kekal ialah rasa malu dalam kalangan pelajar untuk menerima bantuan, terutama ketika sesi rakaman video,” katanya.

Sementara itu, menurut Shasha Nur Qamarina Riduan dari Fakulti Kejuruteraan Awam yang menyewa di Kem Rimba, Seksyen 16, NR Foodbank ini memang sangat membantu pelajar kerana lebih kepada bantuan segera kalau pelajar betul-betul perlukan makanan dengan cepat, mereka boleh terus datang dan ambil di situ.

“Selain itu, NR juga menyediakan perkhidmatan bakul makanan. Untuk bakul makanan, pelajar perlu mengisi borang permohonan, dan selepas itu pihak NR akan datang ke rumah sewa untuk menghantar bekalan makanan.

“Biasanya satu kotak disediakan untuk lima orang serumah. Jika ada lebih daripada lima orang, rumah tersebut akan menerima dua kotak,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Siti Aisyah Helmi juga dari Fakulti Kejuruteraan Awam, dan setahun setengah menyewa kat luar.

Katanya, NR banyak bantu pelajar yang menginap di luar selain memberi bantuan makanan tetapi juga menyediakan platform untuk cari rumah sewa.

“Malah, kalau ada problem dengan rumah sewa, NR juga boleh bantu sebab itu pentingnya data pelajar yang menginap di luar kampus, “ katanya.