"SEJARAH tidak hanya dibina oleh peristiwa besar, tetapi juga oleh kesungguhan manusia untuk merakamnya agar tidak hilang ditelan masa."
Setiap insiden meninggalkan kesan yang berbeza. Ada yang hanya tercatat sebagai laporan berita, ada yang kekal dalam lipatan sejarah, manakala sebahagiannya pula menjadi titik perubahan kepada sesebuah institusi.
Persoalannya, adakah sesuatu insiden memadai sekadar dikenang? Adakah pengalaman yang dilalui wajar berakhir sebagai memori?
Perlukah didokumentasikan agar tidak hilang ditelan masa? Wajarkah menjadi sumber pengajaran kepada generasi akan datang?
Jawapannya ialah ya. Sesuatu insiden yang membawa perubahan besar kepada sesebuah institusi wajar didokumentasikan secara sistematik.
Di sebalik setiap kedukaan tersimpan pengalaman, nilai dan pengajaran yang amat bermakna.
Pendokumentasian bukan sekadar usaha mengabadikan peristiwa, tetapi merupakan tanggungjawab intelektual untuk memastikan pengalaman tersebut terus hidup sebagai rujukan dan pedoman kepada masyarakat.
Dalam dunia akademik, pendokumentasian bukan sekadar proses merekodkan fakta.
Pendokumentasian ialah usaha merakam pengalaman, menyusun tindakan, menilai kekuatan dan kelemahan, serta mewariskan ilmu yang diperoleh daripada sesuatu peristiwa.
Melalui dokumentasi, sesebuah institusi bukan sahaja memelihara sejarahnya, malah membina legasi ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan organisasi lain pada masa hadapan.
Dokumentasi yang baik akhirnya menjadi cerminan kebijaksanaan sesebuah institusi dalam menilai pengalaman lalu untuk memperkukuh tindakan pada masa hadapan.
Hakikat inilah yang menjadi asas kepada penerbitan UPSI Berduka: Insiden 090625, sebuah buku yang lahir daripada cetusan idea Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Md Amin Md Taff.
Insiden nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 orang mahasiswa UPSI pada 9 Jun 2025 bukan sahaja meninggalkan luka yang mendalam kepada seluruh warga universiti, malah memperlihatkan bagaimana sebuah institusi pendidikan bertindak balas, menyantuni mereka yang berduka dan bangkit menguruskan krisis terbesar dalam sejarahnya.
Justeru, pengalaman tersebut tidak seharusnya berakhir sebagai sebuah kenangan yang semakin pudar, tetapi perlu diabadikan sebagai sumber rujukan, pengajaran dan inspirasi kepada generasi akan datang.
Menurut Naib Canselor UPSI, peristiwa yang menguji seluruh warga universiti ini bukan sekadar sebuah insiden yang perlu dikenang, sebaliknya suatu pengalaman yang perlu didokumentasikan agar menjadi sumber rujukan dan pengajaran kepada generasi akan datang.
Berasaskan hasrat tersebut, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah diberi amanah untuk menerajui projek pendokumentasian ini di bawah penyelarasan Profesor Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad selaku Dekan FBK.
Sebuah pasukan penulis kemudiannya dibentuk bagi menghimpunkan pelbagai catatan, pengalaman, dokumentasi visual dan fakta yang berkaitan dengan insiden tersebut.
Proses ini mengambil masa hampir sepuluh bulan melibatkan pengumpulan bahan, penyusunan naratif, semakan fakta dan penyelarasan pelbagai dokumen daripada mereka yang terlibat secara langsung sepanjang pengurusan krisis.
Hasil usaha tersebut diterjemahkan melalui penerbitan UPSI Berduka: Insiden 090625 oleh Penerbit UPSI yang kemudiannya dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada 16 Jun 2026.
Bagi Menteri Pendidikan Tinggi, penerbitan buku ini bukan sekadar mendokumentasikan satu insiden yang menyayat hati, malah merupakan manifestasi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang terkesan.
Lebih penting, beliau menegaskan bahawa pengalaman dan pengajaran yang diperoleh daripada insiden tersebut perlu dipelihara sebagai rujukan kepada generasi akan datang, di samping mengangkat nilai kemanusiaan, solidariti dan keprihatinan masyarakat Malaysia ketika mendepani saat yang amat sukar.
Pandangan tersebut memperlihatkan bahawa sesebuah insiden bukan hanya meninggalkan kesedihan, tetapi turut melahirkan nilai, pengalaman dan kebijaksanaan yang wajar diwariskan kepada masyarakat.
Oleh itu, UPSI Berduka: Insiden 090625 dibangunkan berasaskan pendekatan memori kolektif. Buku ini tidak ditulis daripada satu sudut pandang semata-mata, sebaliknya menghimpunkan suara dan pengalaman pelbagai pihak yang bersama-sama melalui insiden tersebut.
Selain kronologi kejadian, kandungannya turut memuatkan kisah keluarga mangsa, pengalaman petugas barisan hadapan, catatan para sukarelawan, titipan simpati daripada masyarakat, dokumentasi visual, puisi, penghargaan kepada penyumbang serta pelbagai pengalaman yang menggambarkan bagaimana seluruh keluarga besar UPSI dan masyarakat berganding bahu menghadapi saat yang amat getir itu.
Pendekatan ini menjadikan buku tersebut bukan sekadar sebuah catatan sejarah, tetapi sebuah rakaman memori kolektif yang mengangkat nilai kasih sayang, empati dan kebersamaan sebagai kekuatan utama ketika berhadapan dengan krisis.
Namun demikian, nilai paling istimewa yang membezakan UPSI Berduka: Insiden 090625 daripada dokumentasi insiden yang lain ialah pendokumentasian Tujuh Fasa Tindakan.
Pendokumentasian sesuatu insiden tidak seharusnya terhenti pada kronologi peristiwa atau angka korban semata-mata.
Yang lebih penting ialah bagaimana pengalaman tersebut diterjemahkan menjadi ilmu, prosedur dan amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan pada masa hadapan.
Atas sebab itulah, buku ini tidak hanya menghimpunkan kisah duka, tetapi turut merakam secara sistematik pendekatan yang dilaksanakan oleh UPSI dalam menguruskan krisis melalui kerangka Tujuh Fasa Tindakan.
Kerangka ini menjadi identiti utama buku dan membezakan penerbitan ini daripada dokumentasi insiden yang lazim diterbitkan.
Kerangka tersebut bermula dengan Fasa 1: Tindakan Segera dan Penyelarasan Awal, yang mendokumentasikan pengaktifan pusat operasi, penyelarasan antara pelbagai agensi serta pengurusan maklumat bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara pantas, tepat dan tersusun.
Fasa 2: Kebajikan dan Koordinasi Hospital pula merakam usaha penyelarasan rawatan mangsa, pengurusan waris serta kebajikan mereka di hospital-hospital yang terlibat.
Seterusnya, Fasa 3: Ziarah Kasih dan Pemantauan Berterusan memperlihatkan komitmen universiti dalam menguruskan jenazah, menyantuni keluarga mangsa serta memastikan kebajikan mereka terus dipantau secara berterusan.
Melalui Fasa 4: Sokongan Psikososial dan Penghantaran Barangan Peribadi, buku ini mendokumentasikan peranan pasukan kaunselor, sukarelawan dan warga universiti dalam membantu mangsa yang cedera, waris serta rakan-rakan pelajar menghadapi trauma dan tekanan emosi pasca insiden.
Fasa 5: Penghargaan dan Penyaluran Sumbangan pula memperincikan proses penyelarasan bantuan kewangan dan kebajikan yang disalurkan secara sistematik kepada mereka yang terkesan.
Seterusnya, Fasa 6: Tahlil Perdana dan Jalinan Komuniti menggambarkan bagaimana doa, tahlil dan program kerohanian menjadi medium penyatuan warga UPSI bersama masyarakat dalam mengiringi pemergian anak-anak syurga tersebut.
Dokumentasi ini diakhiri dengan Fasa 7: Pemulihan dan Penghargaan, yang memperlihatkan usaha universiti membina semula kekuatan emosi warga kampus, meneruskan pemantauan kebajikan serta menghargai jasa semua pihak yang telah bersama-sama menguruskan insiden ini.
Lebih penting lagi, kerangka tersebut tidak berakhir dengan fasa ketujuh.
Buku ini turut mengetengahkan konsep Sokongan Berterusan UPSI sebagai kesinambungan kepada keseluruhan proses pengurusan krisis.
Pendekatan ini melahirkan Legasi Solidariti UPSI dan Pertiwi, iaitu komitmen universiti untuk terus menyantuni mangsa, waris dan komuniti yang terkesan walaupun insiden telah berlalu.
Pendekatan inilah yang menjadikan Tujuh Fasa Tindakan bukan sekadar struktur kandungan buku, tetapi sebuah model pengurusan krisis yang lahir daripada pengalaman sebenar sebuah institusi pendidikan tinggi.
Keseluruhan dokumentasi ini memperlihatkan bahawa sesuatu insiden bukan sekadar mengajar tentang kehilangan.
Sebaliknya, insiden turut memperlihatkan kekuatan nilai kemanusiaan apabila seluruh masyarakat berganding bahu menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang.
Keprihatinan kepimpinan negara, pengorbanan petugas barisan hadapan, semangat kesukarelawanan masyarakat, solidariti institusi pendidikan tinggi serta doa yang tidak pernah putus daripada seluruh rakyat Malaysia membuktikan bahawa budaya kasih sayang dan tanggungjawab sosial masih utuh dalam jiwa masyarakat negara ini.
Akhirnya, sesebuah institusi bukan hanya dinilai melalui kecemerlangan akademik atau pencapaian penyelidikannya.
Sebuah institusi juga dinilai melalui keupayaannya memimpin ketika berhadapan dengan krisis, menyantuni mereka yang berduka dan bangkit membina harapan baharu daripada sebuah kehilangan.
Dalam konteks itulah UPSI Berduka: Insiden 090625 hadir bukan sekadar sebagai sebuah buku, tetapi sebagai sebuah legasi.
Ia mengabadikan memori sebuah insiden, merakam nilai kemanusiaan yang dizahirkan oleh seluruh warga UPSI dan masyarakat, serta mewariskan satu model pengurusan krisis yang boleh dijadikan pedoman oleh institusi pendidikan tinggi dan organisasi lain pada masa hadapan.
Sesebuah insiden mungkin tidak dapat dipadamkan daripada sejarah, tetapi melalui pendokumentasian yang berintegriti, pengalaman yang lahir daripadanya akan terus hidup sebagai ilmu, pedoman dan warisan kepada generasi yang akan datang.
Itulah makna sebenar mengabadikan memori dan mewariskan pengajaran.
Bagi pembaca yang ingin menelusuri sendiri dokumentasi lengkap tragedi ini, UPSI Berduka: Insiden 090625 boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi Penerbit UPSI (https://upsipress.com.my/upsi-berduka-insiden-090625) atau di Kedai Buku UPSI.
Semoga penerbitan ini terus menjadi wadah untuk mengabadikan memori, mewariskan pengajaran dan memperkukuh budaya pendokumentasian dalam pengurusan krisis di institusi pendidikan tinggi negara.
* Dr. Mohd Hazreen Shah Hassan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI