‘Bangkai’ juara sulung SeeNI X Remaja UniDrama

- Advertisement / Iklan -
DRAMA pendek ‘Bangkai’ arahan pasukan Cineman Pictures pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), UiTM Puncak Perdana muncul juara pertandingan SeeNI X Remaja UniDrama

DRAMA pendek 'Bangkai' arahan pasukan Cineman Pictures daripada pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana muncul juara pertandingan SeeNI X Remaja UniDrama.

Dianjurkan oleh SeeNI, jenama aplikasi di bawah Nu Ideaktiv dengan kerjasama REMAJA, pertandingan itu menjadi medan utama mahasiswa mengekspresikan kreativiti menerusi drama vertikal serta penceritaan ‘short-form’ yang semakin mendapat tempat dalam dunia hiburan digital.

Pengasas Komet Productions yang juga merupakan juri industri berpengaruh, Datuk Ahmad Izham Omar menegaskan kekuatan sesebuah karya terletak pada penceritaan yang mampu menyentuh emosi penonton.

“Yang paling penting adalah cerita. Cerita yang boleh menggerakkan hati penonton. Perceritaan dan bagaimana kita menanam rasa ingin tahu kepada karakter itu paling utama dalam apa-apa movie, filem, siri atau short film,” katanya.

- Advertisement / Iklan -

Imaginasi Rembulan dari ASWARA di tempat ketiga.

Beliau turut memuji usaha produksi pasukan berkenaan yang berjaya menampilkan nilai teknikal berkualiti walaupun menggunakan format vertikal.

- Advertisement / Iklan -

“Mereka letak banyak usaha pada production value dan production design. Mood tempat itu jelas, art dan rasa bagus, lighting bagus dan camera work sangat-sangat baik,” ujarnya.

Menurut beliau, penghasilan filem juga mendidik pelajar mengenai kepentingan kerja berpasukan selain membantu mereka mempertahankan idea serta visi kreatif.

“Filem memerlukan satu pasukan dan kerjasama. Apa yang ditulis dalam skrip tidak semestinya keluar sama, jadi anda perlu pandai membawa hujah dan visi bersama team yang bagus,” katanya.

Ahmad Izham menambah industri filem tempatan memerlukan lebih ramai tenaga kerja dan platform seperti UniDramaXRemaja membuka ruang kepada bakat baharu untuk menonjolkan kemampuan.

“Orang industri nak tengok apa yang anda pernah buat, bukan sekadar CGPA. Bila ada pengalaman dan kemenangan seperti ini, ia sangat penting untuk membawa anda ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Beliau turut melihat mikrodrama sebagai ruang latihan yang mampu melahirkan penggiat kreatif sebelum melangkah ke produksi berskala lebih besar, sekali gus meningkatkan daya saing karya Malaysia di peringkat global.

Kemuncak pertandingan menyaksikan Cassano Heist Picture dari Politeknik Seberang Perai muncul naib juara, diikuti Imaginasi Rembulan dari ASWARA di tempat ketiga, manakala Anugerah Pilihan Juri dimenangi 23II (TwoThreeTwo) dari ASWARA.

Keenam-enam kumpulan memperlihatkan kekuatan penceritaan, keaslian idea serta keupayaan menghasilkan karya berimpak dalam format drama vertikal merangkumi pelbagai genre seperti seram, komedi romantik dan kisah benar.

Selari dengan objektif SeeNI sebagai pentas baharu pencipta muda, karya peserta dinilai barisan juri industri berpengaruh termasuk Ahmad Izham; Pengarah dan Penerbit Lumatic Films, Nik Amir Mustapha; Penerbit Zeel Productions, Hj Md Fadzil Teh; Ketua Thinker Studios, Adly Shairy Ramly; serta Ketua Astro Gempak, Nazihah Dalhar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Lokman Yahya berkata, penganjuran pertandingan itu turut memberi impak positif kepada pertumbuhan aplikasi SeeNI.

“Ini bukti kandungan autentik dan segar daripada bakat muda mampu menarik perhatian serta memupuk komuniti yang terus berkembang,” katanya.

Cassano Heist Picture dari Politeknik Seberang Perai muncul naib juara.

Dalam pada itu, setiap pasukan turut menerima dana RM4,000 bagi menghasilkan drama penuh yang ditayangkan secara eksklusif di aplikasi SeeNI bermula 1 Februari, dengan undian awam dibuka bagi memberi peluang kepada penonton menentukan juara keseluruhan.

Lebih daripada sekadar pertandingan, inisiatif SeeNIxREMAJA itu dilihat sebagai platform pembangunan bakat yang menyediakan bimbingan industri berkualiti tinggi, sekali gus membina keyakinan pencipta muda bahawa penceritaan berimpak tidak semestinya memerlukan produksi berskala besar, tetapi idea yang jujur, relevan dan berani.

Inspirasi kes sebenar, lahir ‘Bangkai’

Ketua Projek ‘Bangkai’, Wan Marissa Fadhal berkata, drama thriller berunsur seram itu mengangkat kisah komuniti kucing yang cuba merungkai misteri pembunuhan di sebuah universiti yang diinspirasikan daripada kes sebenar yang masih belum terjawab.

“Kami ambil inspirasi daripada kes yang benar-benar berlaku dan sampai sekarang masih jadi misteri.

“Dengan bajet RM4,000, alhamdulillah kami berjaya uruskan daripada pelakon hingga promosi.

"Cabaran memang ada, tapi syukur kami sampai ke tahap ini,” katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Sinematografi, UiTM Puncak Perdana.